BACHOK – Berikutan gejala ponteng yang sering berlaku dalam kalangan pelajar sekolah menengah, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok mengambil inisiatif menjalan operasi bersepadu bersama beberapa agensi berkaitan.
Pegawai Pelajaran Daerah Bachok, Saupi Majid berkata, operasi bersepadu tersebut dijalankan bermula jam 8 pagi dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Majlis Daerah Bachok (MDB), Pejabat Agama Islam Daerah Bachok, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurutnya, seramai 80 anggota agensi terlibat memulakan operasi yang dipecahkan kepada tiga zon iaitu sekitar Gunong, Kampung Nipah dan Tawang.
“Gejala ponteng ini amat meresahkan dan pelbagai kempen yang diadakan setiap tahun berterusan untuk menyedarkan mereka mengenai gejala negatif ini.
“Kami amat kesal dengan gejala yang berlaku ini apabila setiap pagi ibu bapa mengharapkan anak mereka masuk ke kelas untuk menuntut ilmu, sedangkan anak mereka ponteng dan berpelesiran di sana sini,” katanya selepas operasi berkenaan.
Menurutnya, sepanjang operasi berjalan sehingga 1 tengah hari itu, pihaknya berjaya menahan 15 pelajar dalam PPD Bachok dan dua pelajar sekolah menengah dari PPD Kota Bharu.
Beliau berkata, pelajar yang dicekup masih berpakaian seragam sekolah dan berada di luar kawasan sekolah sewaktu sesi pembelajaran masih dijalankan.
Saupi berkata, pelajar yang ditahan dibawa ke PPD Bachok untuk menjalani ujian urin bagi mengesan kes dadah.
“Amat malang sekali apabila ada tiga daripada pelajar yang ditahan positif dadah, sedangkan perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan pelajar.
“Dalam usia ini kewajipan seorang anak dan pelajar adalah menuntut ilmu serta menjadi seorang yang berjaya pada masa depan, bukan merosakkan diri dengan dadah,” katanya.
Beliau berkata, mereka yang ditahan menjalani sesi kaunseling dan tazkirah oleh pihak PPD dan Pejabat Agama Daerah.
Menurutnya, operasi itu tidak perlu dipandang negatif kerana ia bermotifkan untuk membawa pelajar kembali ke sekolah dan meninggalkan tabiat ponteng dan perbuatan negatif lain.
“Kami amat berharap mereka ini akan berubah dan sedar kepentingan pelajaran untuk mereka. Melibatkan diri dengan gejala sosial dan dadah akan membunuh masa depan mereka.
“Tanpa ilmu seseorang itu tidak akan ke mana dan sukar untuk meneruskan kehidupan tambahan apabila dewasa dan berkeluarga kelak. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan mereka untuk menentukan hala tuju anak- anak dan tidak menyerahkan tanggungjawab itu kepada pihak sekolah semata- mata,” katanya.
Justeru, Saupi juga merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat yang membantu PPD menjalankan operasi cegah ponteng tersebut.
Difahamkan, operasi tersebut adalah susulan Operasi Ponteng yang dijalankan Jabatan Pelajaran Kelantan di Kota Bharu awal Februari lalu. – Sinar Harian
No comments:
Post a Comment