Powered by Blogger.

Friday, February 17, 2012

RM306.4 Juta Peruntukkan Untuk Pendidikan Awal Kanak-Kanak

  NR       Friday, February 17, 2012

MOHD. Shafie Apdal meluangkan masa beramah mesra dengan kanak-kanak semasa merasmikan Karnival Jalinan Mesra Kemas Subang di Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 14 Feb. - Kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) memperuntukkan sejumlah RM306.4 juta bagi tujuan pendidikan awal kanak-kanak di seluruh negara tahun ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sebanyak RM203 juta diperuntukkan melalui peruntukan mengurus Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi membolehkan Tabika Kemas beroperasi dengan baik.

Katanya, sebanyak RM70 juta pula diperuntukkan menerusi peruntukan pembangunan bagi kemudahan fizikal dan prasarana tabika supaya dilengkapi dengan premis serta kelengkapan peralatan dan perabot bagi menjamin proses pembelajaran yang berkualiti dan efektif.

"Selain itu, Kemas memperuntukkan geran perkapita bernilai RM32.4 juta untuk 396,166 kanak-kanak di bawah tabika dan RM936,000 untuk 11,520 kanak-kanak di bawah taska kendaliannya.

"Geran bagi membantu masyarakat yang berpendapatan rendah itu meliputi kemudahan pakaian, buku-buku serta alat-alat pengajaran dan pembelajaran," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Jalinan Mesra Kemas Parlimen Subang di Kampung Paya Jaras Hilir dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, Mohd. Shafie juga mengumumkan bantuan kerajaan untuk membaik pulih dua buah rumah dengan kos RM12,000 seunit dan membina 17 unit rumah baru dengan kos RM40,000 seunit untuk kawasan Parlimen Subang.

Selain itu, beliau meluluskan peruntukan RM500,000 untuk kerja-kerja perparitan di kawasan Parlimen itu terutamanya di kawasan Dewan Undangan Negeri Paya Jaras.

Mohd. Shafie berkata, kementerian juga menyasarkan untuk membuka 1,000 lagi Tabika Kemas di seluruh negara tahun ini dengan tumpuan di kawasan luar bandar yang mana hampir 50 peratus kelas terletak di Sabah dan Sarawak.

Katanya, maklum balas yang diterima daripada Kementerian Pelajaran menunjukkan kanak-kanak lepasan Kemas menunjukkan kejayaan membanggakan setelah mereka mula memasuki darjah satu sekali gus mendorong masyarakat setempat untuk memohon pembukaan tabika di kawasan mereka.

Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, sejumlah RM4 juta diperuntukkan kementerian bagi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk membina dan membaik pulih rumah seluruh Selangor tahun ini.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading RM306.4 Juta Peruntukkan Untuk Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Previous
« Prev Post

No comments: