Powered by Blogger.

Thursday, February 23, 2012

UiTM Bina Ketamadunan Bangsa

  NR       Thursday, February 23, 2012
Sebahagian penuntut dan Dali Hussin (barisan kedua tengah) di Majlis Malam Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa UiTM Kelantan Sesi November 2011 – Mac 2012 di Kota Bharu, baru-baru ini.

KOTA BHARU 21 Feb. – Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan mengadakan Majlis Malam Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa Sesi November 2011 – Mac 2012 bagi meraikan penuntutnya yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum baru- baru ini.

Majlis yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di sini menyaksikan sebanyak 38 anugerah termasuk Anugerah Pelajar Terbaik keseluruhan telah disampaikan kepada penuntut yang dinilai pencapaian mereka oleh pihak universiti.

Hadir menyempurnakan majlis dan menyampaikan anugerah adalah Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Dali Hussin.

Turut serta, Rektor UiTM cawangan Kelantan, Prof. Madya Dr. Mohd Shukri Omar; Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar), Muhammad Shukri Salleh dan Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik), Prof. Madya Zulkarnain Yusoff.

Dali dalam ucapannya meminta penuntut menghargai peluang yang mereka nikmati belajar di UiTM sebagai salah satu institusi pengajian utama ditubuhkan kerajaan untuk membina ketamadunan dan kegemilangan bangsa.

Katanya, kecemerlangan yang dicipta semasa belajar akan menjadi sia-sia sekiranya ia tidak disusuli dengan usaha untuk membela masyarakat dan agama apabila sudah berada di dunia luar kampus.

“Pepatah menyebut ‘takkan Melayu hilang di dunia’ tetapi kita harus ingat Melayu akan hilang dunianya jika kita sendiri tidak bersungguh-sungguh dalam perjuangan menuntut ilmu dan bersatu dalam melaksanakan apa sahaja usaha untuk memperkasakan bangsa,” katanya.

Terlebih dahulu, Mohd. Shukri dalam ucapan aluannya pula menyifatkan komitmen yang ditunjukkan para penuntut adalah manifestasi kecemerlangan pentadbiran kampus itu sendiri yang turut berjaya menyaingi pencapaian cawangan UiTM lain di seluruh negara.

Katanya, kejayaan mendapat Anugerah Emas Pengurusan Akademik Terbaik 2010 dan Anugerah Platinum Piala Pusingan Seluruh Sistem UiTM 2011 baru-baru ini adalah satu kebanggaan yang akan terus dipertahankan seluruh kakitangan UiTM Kelantan.

Pada majlis itu, Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan dimenangi penuntut jurusan Diploma Pengurusan Maklumat, Muhamad Waridi Lokman Tee, 21, yang dipilih berdasarkan kecemerlangannya dalam pelajaran, sukan dan kepimpinan persatuan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan UiTM Kelantan.

Muhamad Waridi yang tidak dapat hadir diwakili Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Kelantan, Khairul Na’im Ramli untuk menerima hadiah wang tunai RM500.00, trofi dan sijil bagi pihaknya.

Selain 32 anugerah individu, anugerah kecemerlangan turut diberi kepada persatuan terbaik kategori akademik yang dimenangi oleh Persatuan Pelajar Perakaunan (MUTAC UiTM).

Pemenang lain ialah GPMS UiTM bagi kategori persatuan (bukan akademik), Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (badan beruniform terbaik), Jawatankuasa Kolej Tunku Abdul Rahman (jawatankuasa perwakilan kolej terbaik), Jawatankuasa Perwakilan Kolej Dato’ Onn (kelab keusahawanan terbaik) dan Sri Serangkai Tari (penggiat seni).


- Utusan


logoblog

Thanks for reading UiTM Bina Ketamadunan Bangsa

Previous
« Prev Post

No comments: