SAMARAHAN 20 Feb. - Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) merupakan institusi pengajian tinggi (IPT) yang paling banyak menawarkan program Menu Rakyat 1Malaysia apabila 23 kafetaria di kampusnya mengambil bahagian dalam inisiatif itu setakat ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pencapaian membanggakan itu adalah hasil kerjasama pihak pengurusan Unimas yang memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada inisiatif berkenaan.
"Kami mendapat sokongan pihak Unimas untuk mengumpulkan pengusaha kafetaria bagi mengikuti taklimat mengenainya.
"Ia menjadikan Unimas sebagai universiti yang paling banyak menawarkan Menu Rakyat 1Malaysia yang bertujuan membantu mahasiswa membeli makanan dengan harga murah," katanya selepas merasmikan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Peringkat Negeri Sarawak dan penyampaian sijil Menu Rakyat 1Malaysia peringkat Unimas, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalannya, Datuk Rohani Abdul Karim; Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Bumiputera negeri, Datuk Mohd. Naroden Majais dan Naib Canselor Unimas, Datuk Dr. Khairuddin Ab. Hamid.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sehingga hari ini, sebanyak 40 IPT di seluruh negara bersetuju menyertai program Menu Rakyat 1Malaysia.
Katanya, sebanyak 76 kafetaria yang beroperasi di IPT memulakan program itu, manakala 27 lagi masih dalam proses pemilihan menu.
"Jumlah paling tinggi adalah 23 kafetaria di Sarawak diikuti Kedah (22) Melaka (19) dan Terengganu (17)," katanya.
Mengenai GPS, Ismail Sabri berkata, terdapat 116 IPT awam dan swasta telah menubuhkannya dengan yang paling banyak adalah di Pulau Pinang dengan 23 GPS.
Beliau berkata, penubuhannya adalah untuk melibatkan mahasiswa sebagai pembantu kerajaan dalam meningkatkan kesedaran tentang hak dan tanggungjawab pengguna dalam kalangan mereka dan masyarakat.
Katanya, setiap IPT yang menubuhkan GPS akan diberi dana RM3,000 oleh kementerian untuk memulakan aktiviti mereka.
"Sebagai contoh, Unimas ada 23 kafetaria yang menawarkan program Menu Rakyat 1Malaysia, jadi kami libatkan GPS sebagai pemantau harga dan kualiti makanan yang ditawarkan.
"Untuk masyarakat luar pula, mereka diharap dapat menyertai program kemasyarakatan seperti Bakti Siswa untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dan kami bekalkan mereka risalah berkaitan," katanya.
- utusan
No comments:
Post a Comment