Sebahagian pemenang Program Botanical Discovery bergambar pada program anjuran Perbadanan Putrajaya di Taman Botani Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA 3 Mac - Kumpulan Dynamic dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 11 (1) muncul sebagai pemenang program Botanical Discovery yang berlangsung di Taman Botani di sini hari ini.
Kumpulan tersebut yang diwakili oleh Ezzah Amirah Saharudin, Nur Azzlin Rafiqqah Mohd. Noor dan Nurul Asyikin Jamil Faisal membawa pulang hadiah wang tunai RM750 beserta hamper dan medal.
Tempat kedua turut dimenangi SMK Presint 11 (1) menerusi kumpulan Mitosis dan kejayaan itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM500 beserta hamper dan medal manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Sas B dari SMK Sultan Alam Shah.
Menurut ketua kumpulan Dynamic, Ezzah Amirah, kumpulannya telah menjalani latihan selama seminggu bagi menyertai program tersebut termasuk membuat latihan menjawab soalan berkaitan taman dan landskap.
"Kami memang tidak menyangka akan memenangi pertandingan kali ini kerana saingannya amat sengit terutamanya daripada peserta lelaki yang mempunyai kelebihan kecergasan fizikal berbanding kami.
"Hadiah wang tunai akan dibahagikan sama rata dan jika ada lagi pertandingan seumpama ini, kami sama sekali tidak akan melepaskan peluang untuk menyertainya," katanya ketika ditemui pemberita.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Landskap dan Taman, Perbadanan Putrajaya (PPj), Mohammad A. Shukor.
Menurut Mohammad, program yang disertai oleh 150 peserta itu bertujuan menguji kecergasan fizikal dan mental serta pengetahuan pelajar dalam bidang botani dan seni taman.
"Selain mendedahkan peserta kepada pembelajaran dan pendidikan bersumberkan elemen flora dan alam sekitar, program ini juga memberi peluang kepada mereka mengenali kemudahan aktiviti serta perkhidmatan yang disediakan di Taman Botani.
"Semenjak dilaksanakan pada 2008, program yang dianjurkan oleh PPj sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan itu merupakan acara tahunan dalam Kalendar Acara Taman 2012," katanya.
- Utusan
No comments:
Post a Comment