Ditulis Oleh: Abd Naddin
LAKUKAN APA YANG ORANG LAIN TIDAK LAKUKAN
LAKUKAN apa yang orang
lain tidak lakukan, kata Tokoh
Guru Negeri Sabah 1999, Dr (H) Haji Abdul Aziz Haji Ahmad. Tapi pastikan apa yang kita lakukan
itu menemui kejayaan, katanya. Sejak bersara dari perkhidmatan pendidikan,
beliau menceburi bidang perubatan homeopathy. Bagaimanapun, Mantan Pengetua
Maktab Perguruan Kent, Tuaran ini juga dikenali sebagai seorang penulis Sabah
yang prolifik di tahun 60-an dan 70-an dengan nama Madah Aryani. Di celah-celah
kesibukannya, Utusan Borneo sempat menemuinya di pejabatnya di
tingkat bawah Wisma MUIS untuk berkongsi pengalaman dengan beliau.
DR (H) Haji Abdul Aziz
Haji Ahmad dilahirkan pada 7 Januari 1943 di Kota Klias, Beaufort. Beliau
mendapat pendidikan rendah di GPS Kota Klias Beaufort sehingga darjah 5.
Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Grossman Memorial School Kuala
Penyu sehingga lulus darjah Enam pada tahun 1957. Lima tahun kemudian, iaitu
pada Mac 1962,beliau dilantik sebagai guru pelatih di Sekolah Rendah Kerajaan
Mempagar Beaufort.
Setelah mengajar selama
lapan bulan, beliau terpilih memasuki Maktab Perguruan Kent, Tuaran pada 2
Januari 1963. Selepas lulus pada Oktober 1965, Abdul Aziz dihantar bertugas di
SRK Pekan Weston Beaufort. Beliau kemudian ditukar ke SK Pekan Keningau pada
akhir 1966 sehingga penghujung 1968. Pada awal 1969, Abdul Aziz bersama 30
orang guru dari Sabah terpilih Kursus Latihan Perguruan Lanjutan di Maktab
Perguruan Bahasa di Kuala Lumpur selama 9 bulan. Sekembalinya ke Sabah, beliau
ditempatkan mengajar sebagai Guru Penolong Kanan di SMK Keningau pada 2 Januari
1970 hingga 31 Disember 1971. Pada 2 Januari 1972, beliau dinaikkan pangkat
sebagai Pengetua SMK Menumbuk sehingga April 1974.Kemudian Abdul Aziz dihantar
berkursus di Maktab Perguruan Ilmu Khas di Cheras Kuala Lumpur hingga Disember
1974.
Pada tahun 1975, Abdul
Aziz dilantik sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Gaya sebelum ditukarkan ke
Maktab Perguruan Kent Tuaran dan bertugas di sekolah itu sehingga Mei 1976.
Setelah lulus dalam
peperiksaan STPM, beliau diterima belajar di Fakulti Sains Kemasyarakatan dan
Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sehingga lulus Ijazah Sarjana
Muda Sastera dengan Kepujian dalam bidang Bahasa dan Komunikasi pada April
1980.
Kerjaya Abdul Aziz semakin
melonjak dan dilantik sebagai Pengetua SMK Pengiran Omar Sipitang sehingga 30
Mei 1981. Selepas itu, beliau ditukarkan ke SM Sanzac sebagai Pengetua pada 1
Jun 1981 hingga 30 Jun 1982.
Pada 1 Julai 1982, Abdul
Aziz memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Pendidikan (Pengelola)
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Negeri Sabah sehingga 30 November 1988.
Beliau kemudian dilantik sebagai Pegawai Pendidikan Bahagian Pantai Barat Utara
dari 1 Disember 1988 hingga 15 November 1992.
Pada 17 November 1992,
Abdul Aziz dilantik menjadi Pengetua Maktab Perguran Kent Tuaran sehingga
beliau bersara pada tahun 7 Januari 1998.
Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang untuk mewawancara beliau di
pejabatnya, Metro Perubatan Homeopathy, di Tingkat Bawah Wisma Muis Kota
Kinabalu. Setelah bersara, Abdul Aziz menekuni bidang homeopathy dan merupakan
orang pertama di Sabah yang melibatkan diri dalam bidang homeopathy. Beliau
berkelulusan Doctor of Homeopathic Medecine melalui The Open International
University, Medical Science for Asean Countries. Ikuti petikan wawancara dengan
beliau mengenai kenangan semasa kecil, pengalaman pahit manis sepanjang
perkhidmatannya dalam bidang pendidikan.
UTUSAN BORNEO: Apa khabar
cikgu. Terima kasih kerana sudi diwawancara. Boleh ceritakan sedikit mengenai
masa persekolahan cikgu sewaktu kecil dahulu.Berapa jauh jarak antara rumah
dengan sekolah? Cikgu naik apa ke sekolah?
DR AZIZ: Jauh juga. Kami
berjalan kaki dari Kampung Melabau ke Kota Klias.Kira-kira 5 kilometer. Jalan
kaki tiao-tiap hari atau pakai perahu.Jam 5.00 pagi berdayung dengan
kawan-kawan. Perahu kami pernah terbalik, habis karam...tahulah budak-budak.
Bukan saja basah, lemas saja tidak.
UB: Siapa kawan-kawan
cikgu ketika itu?
DR AZIZ: Antaranya Osman
Abdul Latif...sudah pencen.Yahya Hidup sudah pencen...Omar Maidin sudah
pencen...Itu antara yang masih saya ingat.
UB: Selepas tamat sekolah
rendah, cikgu kerja sebagai apa?
DR.AZIZ: Selepas tamat
darjah enam, saya bekerja di Beaufort Estate sebagai mandur. Menanam biji
getah. Selepas itu, saya kerja kayu balak di Chong Chaw Lung. Kemudian barulah
saya menjadi guru pelatih di SK Mempagar Beaufort pada tahun 1963. Saya
memasuki Maktab Kent pada tahun 1965 dan setelah lulus, saya ditempatkan di GPS
Weston, kemudian SMK Keningau sebelum mengikuti kursus di Maktab Perguraun
Bahasa.
Selepas itu, saya
dirugaskan sebagai Penolong kanan SMK Gunsanad. Saya jadi pengetua dari tahun
1972-1974 dan kemudian pada 1975 hingga 1976 bertugas sebagai pensyarah di
Maktab Perguruan Gaya. Pada 1976-1979, saya mengikuti pengajian dalam bidang
bahasa dan komunikasi di UKM. Selepas itu saya dilantik sebagai pengetua di SMK
Pengiran Omar Sipitang dari tahun 1980-1982.
Dari tahun 1982, saya
dilantik sebagai pengetua SM Sanzac.Dari tahun 1982 hingga 1988, saya bertugas
di ibu pejabat sebagai Penolong Pengarah Pendidikan atau sebagai sebagai
pengelola KBSR. Kemudian saya ditugaskan pula di Maktab Perguruan Kent sebagai
penhgetua sehingga 7 Januari 1998.
UB: Siapa agaknya guru
yang berpengaruh dalam hidup cikgu?
DR.AZIZ: Cikgu Hamzah Haji
Baba, Guru Besar SK Weston...sebab dia ada prinsip. Dia seorang yang
dedikasi.Dia mahu murid dan guru dibawah pengawasannya agar selalu `punctual',
tepat waktu. Beliau juga bekerja tanpa mengira waktu.Pukul 6.30 pagi sudah
berada di sekolah tiap-tiap hari. Guru-guru dahulu mengadakan kelas tambahan,
tidak berbayar, tidak berkira.Guru-guru dahulu bekerja secara sukarela...banyak
sukarela.
Seorang lagi ialah Haji
Berudi Ahmad, kerana beliaulah yang menukarkan nama saya daripada Mohd jais bin
Ahmadkepada Abdul Aziz bin Ahmad.Jadi nama saya dalam sijil darjah lima, Mohd
Jais manakala dalam darjah enam, Abdul Aziz. Kebetulan anaknya yang baru lahir
juga diberi nama Abdul Aziz.Itu saya tak pandai lupa.
UB: Apa pengalaman cikgu
yang tidak dapat dilupakan sepanjang perkhidmatan pendidikan?
DR.AZIZ: Dalam perkhidmatan
pendidikan, saya rasa puas hati dalam pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah
(KBSR).Saya memegang jawatan Pengelola KBSR Negeri Sabah dari 1 Julai 1982
hingga 30 November 1988. Sebagai pengelola KBSR, saya berpeluang menjelajah ke
seluruh pelusuk Sabah. Saya pernah sampai ke sekolah-sekolah ulu sungai seperti
Long Pasia dan Meligan di Sipitang, pulau Banggi, Belambangan di Kudat dan
pulau-pulau di Sandakan. Selain itu, kami pernah membuat ekspedisi penyeliaan
KBSR dari Nabawan, Pensiangan melalui jalan darat hingga ke Pulau Sebatik di
Tawau,Kunak, Lahad Datu, Semporna, Sandakan, Ranau, Kota Belud,Kota
Marudu,Pitas,Kudat dan kembali ke Kota Kinabalu dalam jangkamasa hampir dua
minggu.
Saya juga berpeluang
hampir setiap minggu menghadiri mesyuarat kursus dan taklimat KBSR di Pusat
Kurikulum di Kementerian Pelajaran di Jalan Duta, selain menghadiri mesyuarat
KBSR di setiap negeri di Malaysia khususnya di sekolah-sekolah KBSR.
Sesungguhnya tugas ini
mencabar kemampuan bertugas seseorang pegawai.Ini disebabkan program KBSR itu
bakal dijadikan teras Pendidikan Negara pada masa itu.Saya memegang jawatan itu
selama enam tahun, dan alhamdulillah, tugas itu dapat untuk menjayakan KBSR itu
dapat dijayakan dengan sempurna.
Selain itu sewaktu menjadi
Pengetua Maktab Perguruan Kent, saya banyak buat perubahan.Banyak bangunan
terbengkalai, termasuk beberapa blok asrama yang terbengkalai selama 12 tahun
telah dibaik pulih dalam waktu yang singkat. Saya telah berjaya mengubah
fizikal maktab itu dalam masa yang singkat, selain membina lanskap ,
taman-taman bunga supaya kelihatan indah.
Pada masa pentadbiran saya
juga, saya telah memulakan program pertukaran guru Sabah/Sarawak dan guru
pelatih dari Semenanjung datang ke Sabah. Saya menerima banyak kritikan juga. Tapi
saya biarkan kerana itu adalah arahan pihak kementerian. Waktu itu Menteri
Pelajaran, Datuk Dr.Sulaiman Daud. Akhirnya langkah itu diterima.Itu satu
kejayaan di zaman saya.
UB: Oh ya. Ada keluarga
cikgu yang mengikuti jejak langkah sebagai pendidik?
DR.AZIZ: Empat orang anak
saya jadi guru iaiatu Rohaidah Abdul Aziz, Hafizah Abdul Aziz, Noorazlan bin
Abdul Aziz dan Noorazwan Abdul Aziz. Bolehlah dikatakan kami keluarga
guru.Selain itu, adik beradik saya ada juga yang menjadi guru iaiatu Cikgu
Salmahani Ahmad dan Cikgu Rayahani Ahmad.
UB: Barangkali ibubapa
juga banyak mendorong kejayaan cikgu?
DR.AZIZ: ya...bapa saya,
Haji Ahmad bin Abdul Karim hanya seorang petani, ibu saya, Hajah Atiah binte
Omar juga seorang petani.Saya fikir diri dorongan untuk berjaya dari diri
sendiri. Di Kampung saya, saya orang pertama masuk maktab, saya orang pertama
ikut kursus di KL, saya orang pertama masuk universiti. Orang pertama jadi
pengrtua. Semua pertama.
UB: Mungkin ada pengalaman
pahit manis yang boleh dikongsikan bersama?
DR.AZIZ: ketika cuti
maktab, saya kerja kayu balak di Chung Chaw Lung.Masa di Maktab bila cuti, saya
kerja menarik kayu balak.Bukan kerja mudah.Bukan senang pakai gergaji, tarik
pakai bahu.Jam 4.00 pagi saya sudah bangun, berkerja untuk menarik kayu balak
ke atas rel, yang dibina seperti rel keretapi.Itu yang seronok. Gaji masa itu
antara RM15-RM18 ringgit sehari.Waktu itu boleh dikira gaji yang lumayan.Bila
pulang dari cuti, agak `loaded' juga. Kalau tidak kerja kayu balak, saya kerja
potong getah.
UB: Wah, banyak pengalaman
yang cikgu lalui. Sewaktu jadi pegawai pendidikan dahulu, apa pengalaman lain
yang boleh dikongsikan. Barangkali cikgu banyaki pengalaman di luar negara?
DR.AZIZ: Saya pernah
menghadiri kursus pemilihan guru di Jordan Hill College di UK. Selain itu,
ketika menjadi presiden Persatuan Guru-Guru Bumiputera Sabah, saya pernah
mengikuti Pertemuan Guru sedunia, di Panama City. Saya pernah juga menghadiri
Seminar Guru-Guru Antarabangsa Sedunia di Hong Kong sebagai wakil KGBS. Selain
itu, saya pernah mewakili pengetua maktab perguruan ke Seminar Perguruan yang
berlangsung di Bandar Seri Begawan malah pernah mengikuti lawatan Kementerian
Pendidikan ke sekolah bandar dan luar bandar di Manila, Filipina dan Bangkok,
Thailand.
UB: Apa beza dunia
pendidikan dahulu berbanding sekarang?
DR.AZIZ: Peluang
pendidikan sekarang lebih terbuka.Lebih luas dan banyak memberikan
peluang.Sekarang ada banyak biasiswa.Kalau dulu peluang terhad, tempat pun agak
terhad juga.Dulu susah dapat biasiswa.Sekarang biasiswa yang menunggu kita.
UB: Oh ya.Apa falsafah
hidup cikgu?
DR.AZIZ: Falsafah hidup
saya? Buat apa yang orang tidak buat.Lakukan apa yang orang tidak lakukan dan
pastkkan apa yang kita lakukan itu menemui kejayaan.
UB: Sudah lama cikgu
bergiat dalam perubatan Homeopathy?
DR.AZIZ: Ini salah satu
contoh bidang yang orang lain tidak buat.Saya orang pertama di Sabah yang
melibatkan diri dalam perubatan homeopathy iaitu sejak 1995 hingga sekarang.
Banyak masa saya gunakan untuk meneroka ilmu baru, pengetahuan baru seperti
dalam perubatan herba, selain mendalami lagi bidang keagamaan.Berserah diri
kepada Yang Maha Esa.Itu kan tujuan hidup kita
Sumber: Abd Naddin18 feb 2012
No comments:
Post a Comment