Powered by Blogger.

Monday, March 05, 2012

Pihak Sekolah Disaran Wujud Badan Khas Pantau Disiplin Pelajar

  NR       Monday, March 05, 2012

KOTA KINABALU 4 Mac - Pihak sekolah di negeri ini disaran mewujudkan satu badan khas bagi memantau masalah disiplin pelajar bagi memastikan mereka sentiasa menjaga tingkah laku dan tidak terlibat dalam gejala sosial.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Bolkiah Ismail berkata, skop kerja badan pemantau itu diharap tidak terhad di sekolah sahaja tetapi turut memantau pergerakan pelajar di luar sekolah.

"Badan pemantau yang akan diwujudkan oleh sekolah itu perlu juga menjadi 'mata-mata' di luar sekolah bagi memastikan pelajar tidak terlibat dalam gejala sosial dan aktiviti tidak bermoral," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang ditangkap oleh pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran baru-baru ini.

Pelajar itu ditahan bersama seorang wanita China dalam serbuan sepasukan anggota polis D7 di dua buah hotel di Kampung Air dekat sini pada 28 Februari lalu.

Berdasarkan kenyataan Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Supritendan M.Chandra, gadis tersebut pernah ditahan dalam dua serbuan tahun lalu kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pelacuran di lokasi sama.

Bolkiah yang juga Timbalan Exco Pelajaran Negeri berkata, badan khas yang ditubuhkan oleh pihak sekolah diharap dapat membantu mengurangkan masalah sosial pelajar terutama yang tinggal berada di bandar.

Menurutnya, badan yang akan diwujudkan pihak sekolah itu juga perlu menyiasat jika ada pelajar mereka mempunyai masalah disiplin seperti jarang datang ke sekolah dan tidak menghadiri kokurikulum.

Katanya, ia penting bagi mengetahui dan mengenal pasti masalah sebenar serta tindakan yang boleh diambil ke atas pelajar terlibat.

"Mereka juga perlu melihat perubahan yang ditunjukkan oleh pelajar yang disyaki ada masalah dan memanggil pelajar tersebut untuk sesi kaunseling," katanya.

Selain itu, katanya, pihak sekolah juga perlu memahami latar belakang para pelajar dan sekiranya mereka datang daripada keluarga miskin, mereka perlu dibantu dengan segera.

"Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga boleh mewujudkan badan khas bagi tujuan itu dan ia bukan untuk mencampuri pentadbiran sekolah tetapi sebagai membantu pihak sekolah dalam menangani masalah disiplin pelajar," katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Pihak Sekolah Disaran Wujud Badan Khas Pantau Disiplin Pelajar

Previous
« Prev Post

No comments: