Powered by Blogger.

Saturday, March 03, 2012

Modul PLKN lahir belia waja

  NR       Saturday, March 03, 2012

KAMPUNG BARI KECIL, SETIU  – Modul khas diikuti pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) melalui pendekatan khidmat komuniti dilihat mampu melahirkan belia berwawasan dan bersemangat waja.

Timbalan Kem Komandan PLKN Merang Suria, Mazlan Mohamad berkata, melalui modul tersebut setiap pelatih diberi peluang melakukan kerja amal dengan bantuan komuniti setempat.

“Cara sebegini bukan sahaja memberi pengalaman baru kepada sebahagian pelatih.

“Malah, dapat melahirkan sikap kepimpinan dan berdikari dalam diri sendiri selepas menamatkan latihan selama tiga bulan,” katanya.

Katanya, dalam program khidmat komuniti ini, pelatih akan diberi pendedahan khusus mengenai semangat gotong-royong yang menjadi amalan masyarakat sejak dahulu lagi.

“Selain itu, mereka juga didedahkan dengan budaya dan cara kehidupan masyarakat kampung mengikut kawasan yang dipilih,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena program penghayatan 1Malaysia bersama pelatih PLKN dengan Komuniti 1Malaysia Mukim Chalok II di Kampung Bari Kecil, semalam.

Sementara itu, menurut Penolong Pegawai Daerah, Saiful Anwar Mohd Nor, khidmat komuniti yang disertai pelatih PLKN bukan

sahaja menguji semangat dan kekuatan fizikal malah mampu membentuk kumpulan masyarakat yang lebih harmoni.

“Berikutan pelatih yang dipilih mengikuti PLKN ini datang daripada pelbagai latar belakang, ia secara tidak langsung memberi peluang pelatih mempelajari perkara baru sebelum menempuhi cabaran masa depan.

“Apa yang diharapkan adalah modul khidmat komuniti ini akan menjadi asas dan kekuatan kepada pelatih untuk lebih berjaya dan menjadi warga Malaysia yang memiliki budi pekerti mulia,” katanya.

Terdahulu, 421 pelatih PLKN melakukan kerja gotong-royong membersihkan kawasan kampung antaranya sekitar masjid, balai raya dan pantai.

Turut hadir pada program khidmat komuniti berkenaan adalah Pegawai Penerangan Daerah Setiu, Mohamad Nor Abdul Rahman, Penghulu Mukim Chalok II, Suhaimi Isa, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bari Kecil, Mat Shaari Mat Abd Ghawi dan JKKK Bari Besar, Zawawi Jusoh.

- Sinar Harian
logoblog

Thanks for reading Modul PLKN lahir belia waja

Previous
« Prev Post

No comments: