Powered by Blogger.

Sunday, March 04, 2012

3 Sekolah Akan Dibina Bermula 2013 Untuk Penduduk di Senadin, Permyjaya & Kuala Baram

  NR       Sunday, March 04, 2012
Chin melihat peta tapak projek pembinaan sekolah SMK Tudan dan SMK Baram, kelihatan sama Sebastian (kiri) dan Andy (kanan).
KUALA BARAM, 2 Mac — Masalah kesesakkan sekolah rendah dan menengah yang dialami oleh penduduk di Senadin, Permyjaya dan Kuala Baram selesai berikutan pembinaan dua buah sekolah menengah dan sebuah sekolah rendah di Tudan dan Kuala Baram dalam tempoh dua tahun.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, tapak bagi pembinaan ketiga-tiga sekolah itu sudahpun diluluskan dan kerja pembinaan akan bermula pada 2013.
“Setakat ini kita masih menunggu peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan. Kita sudah meminta Kementerian Pelajaran untuk mempercepatkan proses berkenaan,” katanya selepas melawat tapak cadangan bagi pembinaan SK Tudan Jaya, SMK Tudan dan SMK Kuala Baram di sini.
Hadir sama Setiausaha Politik Datuk Sebastian Ting dan Pengerusi SUPP cawangan Pujut, Andy Chia.
Chin yang juga Ahli Parlimen Miri menambah, pembinaan tahun depan dilaksanakan dibawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) penggal ketiga.
Sehingga kini, kawasan Permyjaya, Senadin dan Kuala Baram mempunyai kira-kira tujuh sekolah termasuk dua sekolah menengah iaitu SMK Pujut di Senadin dan SMK Merbau di Permyjaya dan sekolah rendah iaitu SK Tudan, SK Senadin, SK Lutong, SJK(C),  SJK(C) Chung Hua Tudan dan SK Baram II.
Namun dengan jumlah populasi penduduk yang dianggarkan kira-kira 100,000 termasuk 60,000 di Permyjaya, kemudahan sekolah yang ada sekarang tidak mencukupi.
”Peningkatan populasi di Tudan, Kuala Baram dan Senadin menyebabkan kawasan ini memerlukan sekolah tambahan. Setakat ini, sekolah di Tudan di Senadin  tidak mampu menampung jumlah pelajar yang mana setiap kelas terpaksa menempatkan 45 pelajar,” katanya.
Menurut Chin, ini sudah pasti membebankan guru-guru yang mengajar kerana jumlah pelajar yang terlalu ramai.
Beliau menambah, tapak pembinaan sekolah berkenaan diluluskan kerajaan selepas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Miri.
“Apabila siap nanti, sekolah ini akan mengatasi masalah kesesakan yang dihadapi sebelum ini selain menyediakan persekitaran pembelajaran yang selesa dan kondusif,” katanya.
Sementara itu, SMK Tudan dan SK Tudan Jaya dibina di atas tapak seluas 34.7 ekar manakala SMK Baram di tapak seluas 11.398 hektar berhampiran SK Kuala Baram II.
Sekolah itu nanti akan menempatkan pelajar dari kawasan Tudan, Permyjaya, Senadin dan Lutong.

- Miri Today

logoblog

Thanks for reading 3 Sekolah Akan Dibina Bermula 2013 Untuk Penduduk di Senadin, Permyjaya & Kuala Baram

Previous
« Prev Post

No comments: