Powered by Blogger.

Saturday, March 03, 2012

PDRM perluas program 'High Profile Policing' ke sekolah

  NR       Saturday, March 03, 2012

KLUANG: Polis akan memperluaskan program 'High Profile Policing' ke seluruh sekolah di negara ini sebagai usaha menurunkan kadar jenayah dan menerap sikap cegah jenayah sejak kecil kepada murid. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata usaha 'turun padang' dengan mendekati murid dilihat lebih berkesan walaupun polis menggunakan teknologi baru termasuk Facebook sebagai cara berhubung dengan masyarakat.

"Kita perlu ada strategi untuk menurunkan jenayah. Memang betul kita sudah ada pelbagai pendekatan baru seperti Facebook tetapi kita tetap perlu jumpa dan berjabat tangan, barulah kasih sayang dan kemesraan itu datang.

"Selepas ini Perak, Pulau Pinang dan Terengganu akan turut laksana program yang sama dan saya sendiri akan melawat ke negeri lain juga," katanya selepas menghadiri program 'High Profile Policing' di Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood (1) di sini, hari ini. 

Ismail berkata, usaha menurunkan kadar jenayah bukan melalui kaedah rondaan semata-mata sebaliknya perlu diterapkan sejak di bangku sekolah. 

Terdahulu, ketika berucap, Ismail memuji usaha yang dilakukan polis negeri ini dalam menurunkan kadar jenayah dan menggesa semua pihak memainkan peranan dalam membantu pihak berkuasa. 

Bagi daerah Kluang, Ismail berkata, beliau dimaklumkan kira-kira 1,000 kes jenayah direkod dalam tempoh setahun di daerah ini dengan 50 peratus daripadanya membabitkan kecurian motosikal. 
Dalam kunjungan ke sekolah, Ismail turut mengambil kesempatan bertemu bekas Guru Besarnya, Rattan Singh, 83, dan 10 rakan sekelas yang belajar bersamanya dari darjah dua hingga empat, pada tahun 1961 sehingga 1963. 

Beliau berkata, kunjungannya ke sekolah berkenaan sebagai tanda penghargaan kepada guru-guru yang mengajarnya selain menyuntik semangat murid untuk lebih berjaya pada masa depan. 

"Air mata saya tidak dapat ditahan apabila dapat berjumpa dengan guru besar dan rakan-rakan selepas 50 tahun tidak berjumpa," katanya. 

Mengimbau kenangan persekolahan, Ismail berkata, beliau berasa seronok bergaul dengan rakan berbilang bangsa dan bermain permainan "polis dan pencuri' bersama-sama.BERNAMA 
logoblog

Thanks for reading PDRM perluas program 'High Profile Policing' ke sekolah

Previous
« Prev Post

No comments: