Powered by Blogger.

Saturday, March 24, 2012

Penuntut USM, Anis Syuhada Usahawan Fesyen Muslimah

  NR       Saturday, March 24, 2012

Anis Syuhada menggunakan Facebook perluas jaringan perniagaan fesyen Muslimah 

LAGU Cinta Muka Buku oleh penyanyi remaja, Najwa Latif, mengisahkan penyatuan dua cinta melalui laman sosial Facebook dan ia dimungkinkan dengan adanya teknologi yang membolehkan manusia saling berhubungan walau di mana berada.

Namun, bagi Anis Syuhada Shamshul Bahar, 22, pelajar tahun akhir Ijazah Fizik Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, itu menjadikan laman sosial itu sebagai medium untuk memulakan langkah sebagai usahawan berjaya satu masa nanti.

Baginya, kemudahan itu jika bijak diguna dan diolah boleh memberi keuntungan lumayan dalam perniagaan melalui internet. 

Anak kelahiran Kulim, Kedah itu mengakui beliau pada mulanya sekadar menggunakan Facebook untuk berhubung dengan rakan-rakan dan hanya sesekali melihat pelbagai barangan yang ditawarkan secara dalam talian di internet termasuk menempah pakaian kerana fesyen amat diminatinya. 

Namun, selepas itu timbul minat dalam dirinya apabila mendapati aktiviti jual beli melalui internet lebih mudah, cepat dan tidak perlu membazirkan masa dan wang untuk pergi ke kedai untuk mendapatkan barangan yang diidamkan. 

Anis Syuhada berkata, setelah sekian lama menjadi ejen dan mempelajari proses pembelian secara dalam talian, kini beliau sendiri menjadi peniaga pakaian muslimah di laman Facebook yang diberikan nama 'Minniemouse Boutique' yang sedia menerima dan menghantar tempahan pakaian kepada pelanggannya. 

Masa senggang dan ruang yang ada beliau manfaatkan untuk mengiklankan pelbagai jenis pakaian muslimah sehingga kadangkala mendapat sambutan dan tempahan di luar dugaan daripada rakan dan pengunjung laman Facebooknya itu. 

"Saya sendiri suka berfesyen ketika berpakaian muslimah dan kebetulan meminati bidang perniagaan melalui Facebook ini yang dapat menambahkan wang saku ketika saya masih menuntut di USM ini. 

"Jadi, masa lapang selepas kuliah saya banyak habiskan di laman Facebook untuk mengiklankan pakaian muslimah yang terkini," katanya. 

Anis Syuhada berkata, lazimnya pengunjung Facebooknya akan bertanya mengenai warna, kesesuaian badan dan saiz serta harga dan selepas berminat, mereka terus menempah melalui blok disediakan. 

"Urusan membeli secara dalam talian ini sebenarnya lebih mudah dan harga pakaian yang ditawarkan lebih murah berbanding di kedai atau pasar raya sedangkan jenis pakaian adalah sama. Kini, ramai golongan wanita lebih gemar membeli pakaian secara dalam talian," katanya. 

Beliau berkata, setiap tempahan yang sah akan diproses secepat mungkin bagi memastikan pelanggan yakin kepadanya sebelum mengirim kepada pembeli berkenaan. 

Katanya, bapanya, Shamsul Bahar Mohamad, 48, dan ibu, Sharipah Ghazali, 44, bukan saja menggalakkan aktivitinya malah sering membantu mengambil bekalan pakaian muslimah di Kuala Lumpur kerana bagi orang tuanya itu mereka tiada halangan jika dirinya tidak mengabaikan pelajaran di universiti. 

Mengenai persaingan perniagaan menerusi dalam talian, Anis Syuhada berkata persaingan itu sama hebat dengan perniagaan cara biasa seperti kedai atau butik, namun yang penting baginya kehendak pelanggan perlu diutamakan dan sentiasa memberi perkhidmatan terbaik supaya pelanggan kekal setia. 

Beliau berkata, beliau bercita-cita membuka butiknya sendiri selepas menamatkan pengajian di USM nanti. 

PROFIL: 
Nama penuh : Anis Syuhada Shamsul Bahar 
Umur : 22 
Status : Belum berkahwin 
Asal : Kulim, Kedah 
Profesion : Pelajar Tahun Akhir Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang 
Bidang : Ijazah Fizik Perubatan 
Adik-beradik : Anak sulung daripada empat beradik 
Cita-cita : Ahli perniagaan pakaian muslimah 
Laman Facebook : Minniemouse Boutique 
www.minniemouseboutique.blogspot.com
logoblog

Thanks for reading Penuntut USM, Anis Syuhada Usahawan Fesyen Muslimah

Previous
« Prev Post

No comments: