Powered by Blogger.

Saturday, March 24, 2012

Sekumpulan Pelajar Rugi Lebih RM18,000, Rumah Dipecah Masuk Bekas Rakan Serumah

  NR       Saturday, March 24, 2012

CHANDRA (tengah) memeriksa barangan dan komputer riba yang berjaya dirampas semula daripada suspek.

KOTA KINABALU: Sekumpulan pelajar kerugian lebih RM18,000 apabila sejumlah barangan termasuk komputer riba milik mereka dilarikan pencuri dipercayai bekas rakan serumah mereka di Taman Sepanggar Ria, Menggatal dekat sini baru-baru ini.



Kejadian berlaku pada Khamis lepas kira-kira jam 12 tengah hari apabila salah seorang daripada enam pelajar yang menyewa di rumah berkenaan pulang ke rumah selepas selesai menghadiri kuliah.

Bagaimanapun, setibanya dia di rumah berkenaan, pelajar berumur 20 tahun itu terkejut apabila mendapati keadaan rumah yang berselerak tetapi hairan kerana tiada kesan pencerobohan berlaku.

Ketika kejadian juga, lima lagi pelajar yang menyewa di rumah terbabit tidak berada di situ kerana sedang menghadiri kuliah mereka di beberapa institut pengajian tinggi awam dan swasta.

Hasil daripada pemeriksaan yang dilakukan, pelajar terbabit kemudian mendapati beberapa barangan milik dia dan rakan serumahnya termasuk sembilan komputer riba telah lesap.

Pelajar berkenaan kemudian menghubungi rakan-rakan serumahnya yang lain lalu mereka membuat laporan polis di Balai Polis Menggatal pada hari yang sama.

Timbalan Ketua Polis Bandaraya, Superintendan M Chandra berkata berdasarkan laporan polis yang diterima sepasukan polis kemudian menjalankan siasatan dan berjaya menahan seorang pembantu rumah pada keesokan harinya di Taman Sri Maju, Menggatal di sini.

“Hasil siasatan yang dijalankan terhadap wanita tempatan berumur 21 tahun itu, polis dapati dia pernah menyewa bersama pelajar-pelajar terbabit di rumah berkenaan selama tiga bulan.

“Berdasarkan siasatan juga, wanita itu akhirnya mengaku bahawa teman lelakinya terlibat dalam kes curi terbabit dan mendakwa dia telah memberikan kunci rumah berkenaan kepada teman lelakinya yang juga tinggal bersebelahan dengan rumah itu selepas dipaksa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini malam Selasa lepas.

Chandra berkata, hasil daripada siasatan terhadap wanita terbabit, polis berjaya menahan teman lelaki wanita itu juga di Taman Sri Maju, Menggatal pada hari yang sama.

“Suspek berumur 30 tahun yang berasal dari Sarawak itu ditahan berhampiran kawasan perumahan terbabit dan hasil tangkapan itu polis juga berjaya merampas sejumlah barangan termasuk lapan komputer riba milik pelajar-pelajar berkenaan.

“Kesemua barangan itu disimpan di dalam bonet belakang kereta jenis Proton Saga milik suspek,” katanya sambil menambah suspek turut mengaku telah menjual salah sebuah daripada sembilan komputer riba yang dicurinya itu.

Tambah Chandra, suspek bersama teman wanitanya itu kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Selain itu, suspek lelaki terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana didapati positif dadah,” katanya.

- Utusan Borneo (Sabah)
logoblog

Thanks for reading Sekumpulan Pelajar Rugi Lebih RM18,000, Rumah Dipecah Masuk Bekas Rakan Serumah

Previous
« Prev Post

No comments: