Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, daripada jumlah itu, RM100 juta merupakan peruntukan tambahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Belanjawan 2012, dan akan mula diagihkan bulan depan.
Beliau berkata, sejak Najib menjadi Perdana Menteri, dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin meneraju Kementerian Pelajaran, sudah empat kali peruntukan cukup besar diberikan kepada SJKT berstatus SBK.
“Kalau buat kiraan secara puratanya setiap sebuah sekolah SJKT mendapat RM729 ribu untuk pembangunan sahaja,” katanya menjawab soalan tambahan Dr Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) yang ingin tahu langkah-langkah kementerian mengangkat status SJKT kepada Sekolah Kerajaan (SK).
Mengenai penukaran status 370 SJKT kepada SK, Wee berkata ianya bergantung kepada pilihan pihak sekolah itu sendiri dan pihak kementerian tidak boleh mendesak.
“Dalam hal ini Kementerian Pelajaran tidak menghalang mana-mana SJKT yang ingin menukar status daripada SBK kepada SK asalkan sekolah memohon dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan sebagai sekolah kerajaan.
“Permohonan pertukaran status sekolah boleh dibuat oleh Lembaga Pengelola Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru selepas mendapat persetujuan pihak berkepentingan sekolah,” katanya.
Mengenai SJKT didirikan di atas tanah persendirian, Wee berkata sekolah itu perlu menukar status tanah terlebih dahulu kepada status tanah milik kerajaan Persekutuan sebelum membuat sebarang pertukaran status sekolah.
“Semua kes pertukaran status sekolah perlu mendapat persetujuan Jawatankuasa Pelaksanaan Pembukaan, Penutupan, Perpindahan, Penukaran Status dan Penggredan Sekolah (JKPS) di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran serta mendapat kelulusan Menteri Pelajaran seperti yang termaktub di dalam Akta Pendidikan 1996 dan peraturan-peraturan pendidikan yang berkaitan,” katanya. — Bernama
No comments:
Post a Comment