Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Mohamad Yusoff Osman berkata, daripada 12,464 pelajar yang menduduki SPM tahun lalu, seramai 26 calon mendapat sembilan gred A+ meningkat lima calon berbanding hanya 21 calon memperoleh gred itu pada 2010.
Menurut beliau, calon yang memperoleh gred A+ dan A juga meningkat kepada 129 calon atau 0.21 peratus berbanding 2010 menyaksikan 100 calon sahaja mendapat gred A+ dan A.
"Pada tahun lalu juga, seramai 273 calon memperoleh A+, A dan A- iaitu peningkatan ketara sebanyak 76 pelajar atau 0.56 peratus berbanding 197 calon pada 2010.
"Secara keseluruhannya, seramai 428 pelajar memperoleh semua A sama ada A+, A atau A- dalam mata pelajaran diambil, meningkat sebanyak 0.81 peratus berbanding seramai 318 calon berjaya memperoleh gred tersebut pada 2010," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan SPM 2010 peringkat negeri di sini hari ini.
Mohamad Yusoff berkata, sejumlah 16 pelajar memperoleh 10 A+ dalam semua mata pelajaran diduduki berbanding hanya sembilan calon pada 2010 manakala 10 calon memperoleh sembilan A+ dalam semua mata pelajaran diduduki sama seperti tahun sebelumnya.
Bagi pencapaian sekolah pula, katanya, sejumlah 21 Sekolah Kementerian Pelajaran mencapai kelulusan 100 peratus layak memperoleh sijil sama seperti 2010.
"Sebanyak 51 buah sekolah juga melahirkan pelajar yang mencapai gred cemerlang A (A+, A atau A-) dalam semua mata pelajaran diduduki berbanding hanya 39 buah sekolah pada 2010," katanya.
Menurutnya, kesemua 75 Sekolah Kementerian Pelajaran di negeri ini juga mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) kurang 6.75 di mana dua buah sekolah dalam kategori cemerlang iaitu kurang 2.25, 21 buah dalam kategori Baik iaitu GPS 2.26 hingga 4.50 dan 52 buah sekolah dalam kategori Memuaskan iaitu GPS antara 4.51 hingga 6.75.
Katanya, pencapaian GPS sekolah-sekolah di Melaka itu telah membantu meningkatkan pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) Melaka berbanding tahun sebelumnya di mana GPN Melaka bagi SPM 2011 ialah 4.91 iaitu meningkat 0.20 berbanding SPM 2010 dan gred itu juga mengatasi Gred Purata Nasional sebanyak 0.13.
- Utusan
No comments:
Post a Comment