
Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat berkata, tiga sekolah berjaya mencatat kelulusan 100 peratus iaitu Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, Sekolah Menengah Sains Pokok Sena dan Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim.
"Peratusan calon yang mendapat pencapaian tahap minimum (lulus semua mata pelajaran) bagi semua mata pelajaran yang diduduki telah meningkat kepada 50.65 peratus berbanding 49.95 peratus pada 2010.
"Jumlah calon yang layak mendapat sijil adalah seramai 28,466 orang," katanya pada sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Father Barre, di sini hari ini.
Mansor berkata, seramai 36,716 calon menduduki SPM 2011 dan seramai 558 calon berjaya memperoleh gred cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran.
Tambahnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan 150 orang berbanding 408 orang pada tahun sebelumnya.
Beliau memberitahu, antara pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang di negeri itu ialah Abdul Rahman Mohamed Ibrahim (11A+) dan Fatin Nazira Faisal dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kubang Pasu.
Turut cemerlang dengan 11A+ ialah Ooi Pei Sin (SMK Keat Hwa); Tong Chia Qian (SMK Gurun); Chuah Chian Jou (SMK Sin Min Sungai Petani); Yeap Wei Jian (SMK Sin Min Sungai Petani) dan Tan Keh Ling (SMK Sultan Badlishah).
Dalam perkembangan berkaitan, Mansor memberitahu, jurang pencapaian calon bandar dan luar bandar adalah tidak begitu ketara.
"Pelajar luar bandar juga mampu mencapai keputusan yang semakin baik setanding calon bandar," ujarnya.
Sebagai contoh, kata beliau, seorang pelajar iaitu Arif Aizudin Mustafa Kamal dari SMK Baling berjaya mendapat keputusan 10A+ dan 1A.
- Utusan
No comments:
Post a Comment