Powered by Blogger.

Thursday, March 22, 2012

SPM 2011 Perak: 35,033 Layak Dapat Sijil, 1,064 Calon Semua A

  NR       Thursday, March 22, 2012

Sebahagian pelajar cemerlang STAR bersorak gembira selepas sekolah tersebut dinobat sekolah terbaik negeri dalam keputusan SPM 2011 yang diumumkan semalam.

IPOH 21 Mac - Sebanyak 1,064 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 dari sekolah kerajaan di negeri ini berjaya mendapat gred cemerlang iaitu A+, A atau A- dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mohd. Idris Ramli, daripada jumlah itu, seramai 42 memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) dalam semua subjek.

Katanya, pencapaian tertinggi dicapai pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sam Tet, Chaw Chun Lian, yang mendapat 12A+.

"Sebanyak 35,033 daripada 39,752 calon yang mendaftar di negeri ini tahun lalu berjaya mendapat sijil dan daripada jumlah tersebut, 1,064 calon berjaya mencatat gred cemerlang iaitu A+, A atau A- dalam semua mata pelajaran.

"Secara keseluruhannya, prestasi negeri dari segi kuantiti, kualiti dan gred purata negeri (GPN) meningkat dan bertambah baik berbanding 2010," katanya ketika mengumumkan keputusan SPM 2011 di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di sini hari ini.

Turut hadir, Pengetua STAR, Abdul Hashim Abdul Karim.

Mohd. Idris memberitahu, STAR muncul sebagai Sekolah Terbaik SPM 2011 di Perak selepas mencatatkan gred purata sekolah (GPS) 1.37, mengatasi pencapaian empat sekolah lain yang turut mendapat keputusan cemerlang.

Katanya, STAR juga muncul sekolah paling ramai calon mendapat gred A+ bagi semua mata pelajaran yang diambil iaitu enam pelajar.

"Sebanyak lima sekolah di negeri ini dikategorikan cemerlang selepas memperoleh GPS antara 0.00 hingga 2.25 dalam SPM.

"Sekolah terbaik ialah STAR, diikuti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sains Bagan Datoh, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gopeng dan SMK Raja Tun Azlan Shah di Taiping," jelasnya.

Mohd. Idris berkata, Jabatan Pelajaran Negeri akan menumpukan usahanya tahun ini untuk melakukan transformasi dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah bagi meningkatkan prestasi pelajar di negeri ini.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading SPM 2011 Perak: 35,033 Layak Dapat Sijil, 1,064 Calon Semua A

Previous
« Prev Post