Powered by Blogger.

Thursday, March 08, 2012

UiTM Sarawak, MIS bekerjasama tawarkan program baru

  NR       Thursday, March 08, 2012

Jamil Hamali (kanan) bertukar dokumen dengan Putit Matzen sambil disaksikan oleh Daud Abdul Rahman (tengah) selepas menandatangani MoA di Samarahan, Sarawak, baru-baru ini.

SAMARAHAN 6 Mac - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak dengan kerjasama Majlis Islam Sarawak (MIS) kini menawarkan program Eksekutif Diploma Kepimpinan dan Pengurusan Islam (EDKPI) untuk orang awam yang berminat.

Menurut universiti tersebut, program itu dikendalikan secara bergilir-gilir di kampus utamanya di sini dan di Pusat Kegiatan Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak, Kuching pada Sabtu dan Ahad minggu kedua setiap bulan.

Matlamat utama program tersebut adalah melatih dan membangunkan pengurusan institusi Islam dalam bidang pentadbiran umum di negeri ini.

"Program itu merangkumi tiga modul berdasarkan program latihan menggunakan pendekatan al-Jam'u Baina Al-Qadim As-Soleh Wa Al-Jadid An-Nafi' iaitu kombinasi antara elemen tradisi yang baik dan kontemporari yang bermanfaat.

"Ia bertujuan memastikan para pengurus institusi Islam dilengkapi dengan asas pengurusan Islam berdasarkan sumber yang asli dan pada masa sama, didedahkan dengan kemahiran dan teori kontemporari bagi menangani isu-isu terkini," kata universiti itu dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, individu yang berminat mengikuti program berkenaan mestilah warganegara Malaysia yang mempunyai pengalaman bekerja relevan dan disahkan oleh MIS atau Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan UiTM Sarawak.

Selain itu katanya, mereka yang mempunyai ijazah sarjana muda dalam pengajian Islam atau bidang yang berkaitan dan diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam juga digalakkan mengikuti pengajian tersebut.

Sementara itu, satu majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) di antara UiTM Sarawak dengan MIS telah diadakan bertempat di Dewan Majlis Islam baru-baru ini.

Pada majlis yang disaksikan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datuk Ir. Daud Abdul Rahman tersebut, UiTM Sarawak diwakili Rektornya, Prof. Datuk Dr. Jamil Haji Hamali dan Timbalan beliau, Prof. Madya Wan Akil Tuanku Abdullah,

Sementara itu, MIS pula diwakili Yang Dipertuanya, Datuk Putit Matzen dan Pengarah Biro Perkhidmatan Pendidikan MIS, Datuk Adi Badiozaman Tuah.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading UiTM Sarawak, MIS bekerjasama tawarkan program baru

Previous
« Prev Post

No comments: