Powered by Blogger.

Monday, April 09, 2012

80% Graduan Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya Dikalangan Belia Miskin Tegar Berjaya

  NR       Monday, April 09, 2012

PUTRAJAYA, 5 April (Bernama) -- Lapan puluh peratus graduan Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK), iaitu program bagi mempertingkatkan kemahiran pada kalangan belia miskin tegar, berjaya mendapat pekerjaan dan memperoleh pendapatan lebih baik.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata graduan dalam bidang Kejuruteraan Maritim (Anak Kapal) misalnya, berupaya memperolehi pendapatan antara RM700 hingga RM3,000 sebulan.

"Graduan kursus tempahan dan tiketan pula memperoleh antara RM800 hingga RM1,200 sebulan yang kebanyakannya mendapat kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, manakala yang mengikuti kursus jahitan mampu menerima RM150 hingga RM200 seminggu dengan menjahit di rumah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan sijil kepada 420 graduan pada Majlis Graduasi Pertama PLKK Sesi 2011 iaitu program kerjasama antara kementerian dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Felcra Berhad serta penglibatan syarikat pengendali latihan kemahiran swasta.

Program itu terbuka untuk peserta berusia antara 15 dan 35 tahun yang perlu menjalani kursus antara tiga hingga enam bulan bagi mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dalam 49 bidang pengkhususan termasuk pembuatan, teknikal, perkhidmatan, perkilangan dan keusahawanan.

Katanya kerajaan sentiasa berusaha memartabatkan sektor latihan kemahiran negara yang kini menjadi antara bidang alternatif kepada pelajar untuk dijadikan pilihan kerjaya.

Malah pendidikan di peringkat ini juga turut dinaik taraf sehingga ke peringkat diploma dan ijazah, sekali gus meningkatkan prestij sektor kemahiran setanding dengan bidang ditawarkan menerusi pendidikan tertiari di universiti tempatan, kata Shafie.

"Sekiranya pelatih-pelatih ini mampu memenuhi kehendak pasaran, saya yakin pergantungan kepada tenaga kerja asing akan dapat ditangani seterusnya menjana peluang pekerjaan kepada tenaga tempatan," katanya.

Shafie berkata PLKK juga mendapat sokongan masyarakat Orang Asli yang dapat dilihat daripada separuh graduan hari ini, sekali gus menjadi bukti mereka semakin terbuka dan ingin memperbaiki taraf kehidupan masing-masing.

Beliau berkata pada tahun lepas, sebanyak RM14.36 juta peruntukan diterima daripada Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri bagi melaksanakan PLKK, dan pada tahun ini kira-kira RM36 juta lagi digunakan untuk tujuan itu.
 -- BERNAMA
logoblog

Thanks for reading 80% Graduan Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya Dikalangan Belia Miskin Tegar Berjaya

Previous
« Prev Post

No comments: