Powered by Blogger.

Wednesday, April 18, 2012

Datuk Prof Dr Ibrahim Komoo Memulakan Tugas Sebagai Naib Canselor UMT

  NR       Wednesday, April 18, 2012
KUALA TERENGGANU - Datuk Prof Dr Ibrahim Komoo yang memulakan tugas sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini berazam menggunakan semua kepakaran beliau untuk menerajui universiti itu supaya terus unggul di pentas akademik negara.

Sebagai permulaan beliau akan berjumpa dengan ahli akademik UMT, pelajar dan petugas di bahagian pengurusan serta pentadbiran bagi membolehkannya mengenal pasti cabaran serta peluang yang dihadapi warga universiti itu.

"Pengalaman saya sebagai ahli akademik yang banyak terlibat dengan pelbagai program di peringkat antarabangsa akan disalurkan untuk memantapkan lagi UMT, namun saya memerlukan sokongan semua warga universiti untuk sama-sama berganding bahu mencapai matlamat universiti.

"Prinsip saya agar kita semua boleh bekerjasama sebagai satu pasukan, saling mempercayai dan komited dalam menentukan hala tuju UMT sebagai insitusi pendidikan terulung di negara," katanya ketika berucap di majlis serah tugasnya di sini, hari ini.

Ibrahim menggantikan naib canselor UMT sebelum ini Datuk Prof Dr Aziz Deraman yang tamat perkhidmatannya pada 12 April lalu.

Beliau yang tiba di UMT pukul 4 petang disambut oleh Aziz, seterusnya menyerahkan tugas naib canselor kepada Ibrahim.

Pelantikan tersebut untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa mulai 13 April 2012 hingga 12 April 2015.

Dari segi pencapaian akademiknya, Ibrahim pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), dan Pengarah Institut Kajian Bencana Asia Tenggara (Seadpri) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pada masa ini, beliau juga penyandang Ketua Kluster Alam Sekitar dan Sumber Asli, Majlis Profesor Negara (MPN), dan ahli Majlis Akademi Sains Malaysia.  – Bernama
logoblog

Thanks for reading Datuk Prof Dr Ibrahim Komoo Memulakan Tugas Sebagai Naib Canselor UMT

Previous
« Prev Post

No comments: