Powered by Blogger.

Friday, April 27, 2012

Ketiadaan Guru Pendidikan Islam di Sekolah Integriti Kuching Dapat Perhatian

  NR       Friday, April 27, 2012

Gambar Hiasan - Penjara Puncak Borneo Kuching

KUCHING: Masalah ketiadaan guru Pendidikan Islam di Sekolah Integriti Kuching, Penjara Sarawak di Jalan Puncak Borneo mendapat perhatian daripada Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Sempena program lawatan rasminya ke situ semalam, Fatimah berkata beliau akan berusaha mendapatkan khidmat guru Pendidikan Islam bagi sekolah ‘tirai besi’ itu menjelang Jun ini.

“Pada Jun ini, ramai guru terlatih akan keluar dan ditempatkan ke sekolah-sekolah di seluruh negeri.

“Kami akan mengenal pasti guru berpotensi dan segera mendapatkan khidmatnya kerana keperluan ini amat mendesak,” katanya.

Beliau berkata demikian sebaik selesai sesi taklimat mengenai perkembangan dan sistem pendidikan di Sekolah Integriti Kuching yang disampaikan oleh penyelia yang juga tenaga pengajar, Danggat Chabo.

Pada taklimat tersebut, Danggat menyatakan bahawa pihaknya amat memerlukan khidmat guru Pendidikan Islam kerana ilmu keagamaan itu amat penting untuk didedahkan kepada para pelajar di situ yang merupakan pesalah juvana.

Sementara itu, Fatimah juga menyuarakan kebanggaannya terhadap pencapaian akademik pelajar di situ, yang terdapat di kalangan mereka mencapai keputusan peperiksaan PMR dan SPM yang baik.

“Ini adalah petanda yang baik… saya berharap para pelajar di sini akan menggunakan peluang kedua mereka ini untuk menimba ilmu dan meningkatkan keupayaan diri melalui pendidikan,” katanya.

Sekolah Integriti Kuching mempunyai seramai 18 pelajar lelaki dan 16 perempuan dengan tenaga pengajar seramai lapan orang.

Sementara itu, lawatan rasmi Fatimah bersama kakitangan kementeriannya, agensi kerajaan dan NGO lain adalah untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti dan program Sekolah Integriti Kuching.

- UB
logoblog

Thanks for reading Ketiadaan Guru Pendidikan Islam di Sekolah Integriti Kuching Dapat Perhatian

Previous
« Prev Post

No comments: