SUNGAI BULOH – Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading kerugian RM20,000 apabila empat komputer riba yang disimpan dalam pejabat sekolah dilarikan penjenayah yang memecah masuk sekolah itu, awal pagi semalam.
Komputer riba yang diletakkan di dalam peti besi itu disedari hilang selepas seorang guru hendak menggunakan komputer itu sebagai alat bantuan mengajar.
Menurut sumber, penjenayah itu mengambil masa yang singkat untuk melarikan ke semua komputer riba berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Anehnya si pencuri tidak pula melarikan empat set komputer LCD yang disimpan di peti besi sama yang digunakan untuk kegunaan bengkel pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PMR,” katanya.
Difahamkan, penjenayah turut melarikan wang tunai yang ditinggalkan di bilik guru terbabit selain turut menggeledah dan mengumpil rak besi di bilik pengetua sekolah.
“Mereka masuk dengan memotong rantai pada pagar pintu masuk ke pejabat dan kemudian mengumpil pintu papan untuk masuk,” katanya.
Difahamkan, sekolah ini sudah beberapa kali dipecah masuk sejak 2004.
Laporan mengenai kejadian itu kemudiannya dibuat di Balai Polis Sungai Pelong.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes sedang disiasat.
- SH, 22 April
No comments:
Post a Comment