GEMBIRA: Phoebe (kanan) ditemani bapa beliau begitu teruja dan gembira menjadi salah seorang penerima MSEA.
KUALA LUMPUR: Maxis Berhad (Maxis), penyedia perkhidmatan komunikasi bersepadu terbesar Malaysia baru-baru ini telah menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Biasiswa Maxis (MSEA) bernilai sebanyak RM3.16 juta kepada 22 pelajar muda Malaysia yang cemerlang.
Anugerah ini telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Pengerusi Maxis, Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda.
Raja Arshad dalam ucapannya memberitahu sehingga 21 Disember 2011, Maxis menganugerahkan biasiswa berjumlah RM32.2 juta kepada 133 mahasiswa dan 27 siswazah.
“Melalui Biasiswa Maxis untuk program kecemerlangan, kami telah memperkukuhkan komitmen kami terhadap bidang pendidikan dengan menyediakan bakat muda Malaysia yang terbaik sokongan kewangan yang mereka perlukan serta peluang pendidikan bertaraf dunia untuk mencapai aspirasi mereka,” katanya.
Phoebe Tang, 21, gadis berasal dari Kuching, Sarawak melahirkan rasa gembira setelah dipilih sebagai salah seorang penerima.
“Saya begitu teruja apabila dipilih sebagai salah seorang penerima biasiswa kerana peluangnya amat tipis. Dengan biasiswa ini, saya menapak satu langkah lagi dalam mendekati impian saya kerana saya kini boleh menumpukan perhatian sepenuhnya pada pelajaran dan bukannya bimbang tentang membiayai pengajian saya seterusnya” katanya lagi.
Phoebe yang kini sedang melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) di Monash University turut mengucapkan terima kasih kepada Maxis yang telah menawarkan peluang tersebut kepadanya.
- UB, 19 Mei
No comments:
Post a Comment