KUCHING: Melihat keadaan penduduk sekitar yang tidak bekerja dan hidup dalam keadaan susah membuatkan seorang anak Penan, Lerroy Lemen berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran.
Usaha berterusan Lerroy, 18, yang berasal dari Long Lemai membuahkan hasil apabila berjaya mendapat keputusan 6A, 1B dan 1C pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas.
Dengan kejayaan itu, Lerroy menjadi anak Penan kedua berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.
Menurutnya, persekitaran kampung yang daif mendorong untuk belajar bersungguh-sungguh walaupun dalam keadaan serba kekurangan.
“Jumlah budak kampung yang ramai tidak bekerja dan hidup susah memberi dorongan kepada saya untuk bekerja untuk mengubah corak kehidupan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Dia berkata, sesi persekolahannya bermula di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lemai dan kemudiannya diteruskan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bario dari Tingkatan Satu hingga Tiga kerana kampung tersebut tidak memiliki sekolah menengah.
Kemudiannya, untuk Tingkatan Empat dan Lima Lerroy berpindah pula ke SMK Marudi.
Lerroy merupakan salah seorang daripada 15 penerima Biasiswa Tunas Potensi Negeri Sarawak daripada Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, semalam.
“Saya berminat untuk melanjutkan pelajaran di universiti dalam bidang ekonomi dan pengurusan atau pengajian pendidikan,” ujarnya yang merupakan anak pertama dari enam adik-beradik.
Malah, kecekalan yang ditunjukkan Lerroy turut mendapat perhatian daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Nor Mohamed berkata, Lerroy terpaksa melalui laluan sungai, darat dan udara untuk sampai ke lokasi temu duga Program Tunas Potensi.
“Perjalanannya ke Kuching mengambil masa tiga hari. Di sebalik kepayahan yang terpaksa ditempuhi, anak muda ini (Lerroy) mendapat kejayaan membanggakan dalam peperiksaan SPM,” jelasnya.
- UB, 19 Mei
KUCHING: “Saya mahu menjadi pakar psikologi bagi membantu masyarakat Penan dan membuktikan orang Penan juga mampu cemerlang seperti kaum lain,” kata Lerroy Lemen, 18, daripada kaum Penan yang menerima biasiswa Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB), semalam.
Penganugerahan itu diberikan selepas Lerroy mencatatkan keputusan cemerlang iaitu 6A, 1B dan 1C dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini. Lerroy antara 15 pelajar Bumiputera Sarawak mendapat biasiswa YPPB yang jumlah keseluruhannya bernilai RM158 juta.
Berasal dari satu komuniti kecil Penan di Long Lamai, Marudi, iaitu kira-kira 200 kilometer (km) dari Miri dan 30 km dari sempadan Indonesia, bukan penghalang kepada Lerroy meraih keputusan cemerlang SPM, sekali gus layak menerima biasiswa itu.
Mengimbas kisah di sebalik kejayaan diraihnya, Lerroy berkata selepas tamat sekolah rendah, dia terpaksa meninggalkan kampung untuk melanjutkan pelajaran di sekolah menengah di Bario sehingga tingkatan tiga.
Dia kemudian menyambung pengajian tingkatan empat dan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Marudi.
Dalam keputusan SPM baru-baru ini, Lerroy memperoleh A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Geografi, Sejarah, Perdagangan, Sains dan Moral, manakala B untuk Matematik dan Bahasa Inggeris C.
“Bagi memenuhi cita-cita saya, langkah pertama ialah mendaftarkan di Kolej Taylor di bawah program prauniversiti Kanada yang bermula Julai ini. Saya dibesarkan dalam kehidupan ‘survival’, berdikari demi kelangsungan hidup dan memahami betapa sukarnya kehidupan di kampung.
“Mempunyai kehidupan survival adalah baik, tetapi tidak cukup untuk hidup di dunia moden ini dan saya bertekad mengubah cara hidup demi kesejahteraan masyarakat Penan,” katanya ketika ditemui pada Penyampaian Biasiswa YPPB, semalam.
Biasiswa itu memberi peluang kepada pelajar SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang meraih keputusan cemerlang dari kawasan pedalaman melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi dalam bidang pilihan masing-masing.
Penyampaian biasiswa itu adalah kali keempat membabitkan 225 pelajar terpilih selepas Melaka, Kelantan dan Sabah. Majlis disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Turut hadir, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datuk Len Talif Salleh yang mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif YPPB, Raja Azura Raja Mahayuddin.
Terdahulu dalam ucapannya, Raja Azura berkata, objektif YPPB ialah menyediakan pendidikan berkualiti dan peluang pekerjaan lebih baik kepada pelajar cemerlang Bumiputera yang berprestasi tinggi.
“Kami bukan saja menawarkan biasiswa, malah memberi bimbingan serta kemahiran diperlukan dalam persekitaran kerja pada masa akan datang kepada pelajar terpilih,” katanya.
Sementara itu, Nor Mohamed berkata, kerajaan menyedari kesukaran pelajar luar bandar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi disebabkan masalah kewangan.
myMetro 19 Mei 2012
No comments:
Post a Comment