Powered by Blogger.

Thursday, May 10, 2012

46,698 Pemohon Berjaya Ditawarkan Ikuti Program Asasi, Diploma di IPTA & Politeknik Premier

  NR       Thursday, May 10, 2012
PUTRAJAYA -- Sebanyak 46,698 pemohon berjaya ditawarkan tempat untuk mengikuti program asasi dan diploma di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Politeknik Premier bagi sesi akademik 2012/2013.

Ketua Pengarah Pengajian Tinggi Datuk Dr Rujhan Mustafa berkata sejumlah 218,931 pemohonan diterima dan selepas ditapis, 189,959 permohonan layak dipertimbangkan.

"Keputusan kemasukan telah pun diumumkan pada 7 Mei lepas dan bagi calon yang telah ditawarkan tempat perlu menyatakan pengesahan penerimaan sebelum 15 Mei ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Rujhan berkata kepada calon yang gagal mereka boleh mengemukakan rayuan melalui aplikasi e-Rayuan di http://upu/mohe.gov.my sebelum 18 Mei depan dan keputusan rayuan akan diumumkan pada minggu kedua bulan Jun iaitu selepas pendaftaran kemasukan pelajar baharu.

"Hanya seramai 143,261 sahaja layak mengemukakan rayuan. Jika tiada sebarang jawapan diterima dalam tempoh empat minggu selepas tarikh pendaftaran pelajar baharu itu maka rayuan dianggap gagal. Keputusan rayuan adalah muktamad," katanya.

Rujhan mengingatkan bahawa rayuan perlu diisi sendiri oleh pemohon kerana kementerian tidak pernah melantik mana-mana ejen atau wakil dalam pengurusan pemilihan kes rayuan calon gagal mendapat tempat.

Beliau berkata pelajar wanita masih mengatasi dan paling ramai ditawarkan tempat iaitu 27,178 berbanding pelajar lelaki 19,520 orang. Seramai 36,566 ditawarkan dalam jurusan sains manakala 10,132 dalam jurusan sastera.

Seramai 69 pelajar kalangan Orang Asli berjaya ditawarkan tempat daripada 187 permohonan yang diterima dan bagi orang kelainan upaya, seramai 71 orang ditawarkan tempat daripada 230 permohonan.

"Sebanyak 22,193 permohonan diterima daripada atlet sukan dan daripada jumlah itu seramai 8,905 ditawarkan tempat," katanya.

Politeknik Premier terdiri daripada Politeknik Ungku Umar, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Politeknik Ibrahim Sultan. - Bernama
logoblog

Thanks for reading 46,698 Pemohon Berjaya Ditawarkan Ikuti Program Asasi, Diploma di IPTA & Politeknik Premier

Previous
« Prev Post

No comments: