Powered by Blogger.

Saturday, May 05, 2012

KPM Diminta Longgarkan Syarat Minimum Pengambilan Guru Pelatih Masyarakat Orang Ulu

  NR       Saturday, May 05, 2012

PETER Chin Fah Kui menyampaikan anugerah Bintang Setia Guru (BSG) kepada Hadijah Julaihi yang telah berkhidmat sebagai guru selama 30 tahun sambil diperhatikan William Ghani Bina (dua kiri) di Miri, semalam.

MIRI 2 Mei - Kementerian Pelajaran diminta melonggarkan syarat minimum pengambilan guru pelatih daripada masyarakat Orang Ulu bagi meningkatkan bilangan golongan tersebut yang berkhidmat sebagai pendidik di negeri ini.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), William Ghani Bina berkata, setakat ini, jumlah guru pelatih daripada masyarakat Orang Ulu, khususnya kaum Penan amat kecil berbanding kaum lain.

"Bagi saya, pihak kementerian perlu memberi kelonggaran kepada golongan tersebut, tak payah syarat mesti dapat lima kredit dalam SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), memadai dengan tiga kredit.

"Apabila calon ini tamat latihan, kita hantar mereka ke kampung halaman untuk mendidik masyarakat sendiri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Bintang Setia Guru, di sini semalam.

Majlis yang diadakan bagi meraikan para guru di negeri ini yang telah bersara itu disempurnakan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Terdapat kira-kira 38,000 guru ditempatkan di negeri ini dengan kebanyakan daripadanya adalah warga Semenanjung yang dihantar ke kawasan pedalaman yang didiami masyarakat Orang Ulu.

Mengulas lanjut, William Ghani berkata, guru berketurunan Orang Ulu diyakini dapat menyampaikan ilmu dengan lebih berkesan, sekali gus membantu merapatkan jurang pendidikan melibatkan masyarakat pribumi itu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya diberitahu bahawa Kementerian Pelajaran bersetuju meluluskan permohonan pihak STU supaya lebih ramai guru tempatan ditempatkan di negeri itu.

"Mulai tahun ini, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada guru pelatih yang berkhidmat di negeri ini terdiri daripada rakyat Sabah dan Sarawak," katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading KPM Diminta Longgarkan Syarat Minimum Pengambilan Guru Pelatih Masyarakat Orang Ulu

Previous
« Prev Post

No comments: