Powered by Blogger.

Saturday, May 05, 2012

Pelajar PTPL lawat Penjara Puncak Borneo

  NR       Saturday, May 05, 2012

Para pelajar Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan Sarawak yang menyertai program lawatan sambil belajar ke Penjara Puncak Borneo di Kuching, baru-baru ini.

KUCHING 1 Mei - Seramai 25 orang pelajar dan dua orang pegawai Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) Sarawak mengadakan lawatan sambil belajar ke Penjara Puncak Borneo di sini,baru-baru ini.

Pegawai Unit Perhubungan Pelajar PTPL Sarawak, Abdull Rahmat Abdullah Chik berkata, lawatan itu bertujuan memberi pengetahuan baru kepada para pelajar mengenai fungsi dan peranan Jabatan Penjara sebagai sebuah entiti pemulihan.

Selain itu katanya, para pelajar berpeluang melihat sendiri kegiatan harian tahanan-tahanan yang ditempatkan di penjara.

"Para pelajar yang tiba di kompleks penjara telah diberi taklimat oleh pegawai penjara iaitu Inspektor Muhamad Fuardy Sahmat berkaitan peranan Jabatan Penjara dalam proses penahanan dan pemulihan para banduan.

"Beliau turut menerangkan kepada para pelajar berkenaan program-program yang diadakan oleh pihak penjara untuk memberi nilai tambah kepada para banduan apabila mereka selesai menjalani proses tahanan seperti kemahiran menjahit, bercucuk tanam, menjahit manik dan lain-lain lagi," katanya kepada Utusan Malaysia.

Turut mengiringi para pelajar ialah Tutor Pelancongan Kolej PTPL, Dayangku Mafizawati Pengiran Matussin.

Sementara itu, pelajar semester tiga Diploma Reka Bentuk Grafik, Mohd. Dasuki Azahari berkata, program sedemikian mampu membuka minda para pelajar berkenaan fungsi dan peranan sebenar pihak penjara di negara ini.

Katanya, lawatan itu mendorong keinsafan apabila melihat suasana di penjara dan diharap dapat menerbitkan rasa syukur sekali gus membantu peserta menjadi insan berguna pada bangsa, agama dan negara.

"Kita melihat sendiri suasana di penjara dan ia pasti akan dijadikan satu bentuk peringatan dalam mengharungi kehidupan," katanya.

- Utusan Sarawak 
logoblog

Thanks for reading Pelajar PTPL lawat Penjara Puncak Borneo

Previous
« Prev Post

No comments: