Powered by Blogger.

Wednesday, May 16, 2012

Sambutan Hari Guru 2012 Di Sarawak: Pengorbanan Guru Wajar Diiktiraf

  NR       Wednesday, May 16, 2012
KUCHING: Pengorbanan dan sumbangan golongan guru dalam menyampaikan pendidikan demi masa depan Sarawak yang lebih cerah wajar diberi pengiktirafan dari semasa ke semasa.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak William Ghani Bina memberitahu, ini kerana sumbangan guru, khasnya di kawasan pedalaman tidak dapat dinafikan kerana mereka terus memikul tanggungjawab dengan penuh komitmen walaupun mempunyai kemudahan yang terhad.

“Saya ingin mengucapkan syabas kepada warga guru yang menjalankan tugas dengan begitu baik tahun lepas lebih-lebih lagi golongan guru di pedalaman.

“Walaupun mempunyai kemudahan yang terhad tetapi ia bukan penghalang bagi mereka melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, semalam.

William turut melahirkan setinggi penghargaan kepada kerajaan atas kenaikan gaji sebanyak 13 peratus kepada golongan pendidik baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa tugas melahirkan insan cemerlang tidak dapat dijayakan sekiranya tidak ada kerjasama daripada ibu bapa.

Justeru, beliau melahirkan penghargaan kepada ibu bapa yang terus memberi kerjasama jitu dalam membangunkan pendidikan anak-anak.

Kerjasama tersebut, katanya dapat disaksikan dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) walaupun masih ada sekolah yang belum menubuhkan persatuan tersebut.

“Di sini saya ingin menyeru sekolah-sekolah di Sarawak yang belum berbuat demikian agar mempertimbangkan cadangan tersebut demi pembangunan pendidikan yang lebih baik di kalangan anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie berkata guru perlu lebih inovatif dan meneruskan peranan mereka dalam pendidikan demi melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif.

Katanya ia selaras dengan tema Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara.’

“KGBS mengharapkan agar warga guru dapat memainkan peranan penting untuk menyahut gagasan ini.

“Di samping itu merealisasikannya dalam situasi pengajaran dan pembelajaran demi melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

KGBSB dalam pada itu mengaharapkan agar pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran lebih prihatin terhadap tuntutan dan kebajikan para guru.

Ia kata beliau sebagai menghargai sumbangan dan pengorbanan warga guru pada masa akan datang.

“KGBS dengan ini mengucapkan Selamat Hari Guru sempena sambutannya hari ini (16 Mei) kepada semua warga pendidik di seluruh negara khususnya mereka yang berkhidmat di seluruh pelosok negeri ini,” ujarnya.

KGBS katanya mengucapkan penghargaan kepada semua warga guru atas sumbangan dan pengorbanan yang telah dilaksanakan selama ini.

- UB

logoblog

Thanks for reading Sambutan Hari Guru 2012 Di Sarawak: Pengorbanan Guru Wajar Diiktiraf

Previous
« Prev Post

No comments: