Powered by Blogger.

Tuesday, May 22, 2012

Susu 1Malaysia Selamat Diminum

  NR       Tuesday, May 22, 2012
Kementerian buat pemantauan pastikan susu dibekalkan patuhi syarat

BENTONG: Pelajar dan rakyat negara ini tidak perlu bimbang mengenai kualiti susu yang dibekalkan ke sekolah menerusi Program Susu 1Malaysia kerana minuman itu dijamin selamat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kementerian itu sentiasa melakukan pemantauan menerusi Jabatan Keselamatan Makanan, bagi memastikan susu yang dibekalkan mematuhi syarat yang ditetapkan.

Bagaimanapun, tempat penyimpanan yang tidak sesuai di sekolah mungkin menjadi punca kualiti sesetengah susu yang dibekalkan terjejas sehingga menyebabkan pelajar mengalami cirit-birit, katanya kepada pemberita, di sini semalam.

“Pihak Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran sedang bekerjasama untuk menangani masalah ini terutamanya bagi menyediakan tempat penyimpanan susu yang lebih selamat di sekolah,” katanya yang ditemui selepas merasmikan Karnival Jelajah Sihat Peringkat Kebangsaan.

Beliau mengulas kes beberapa pelajar di negeri ini mengalami cirit-birit, dipercayai selepas meminum susu di bawah Program Susu 1Malaysia.

Mengulas lanjut, Liow berkata secara keseluruhannya kes keracunan makanan murid sekolah rendah akibat susu 1Malaysia adalah kecil berbanding yang disebabkan oleh penyediaan makanan kurang bersih di kantin.

Mengenai perkara berbeza, Liow berharap pihak berkuasa tempatan memastikan kutipan sampah dibuat mengikut jadual bagi membantu menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Katanya, usaha membasmi wabak denggi di seluruh negara belum mencapai kejayaan sekalipun pelbagai usaha dilakukan agensi kerajaan termasuk kementeriannya.

“Kes denggi negara kita sehingga hari ini telah mencecah 9,500 kes yang mengakibatkan 20 kematian berbanding 7,800 dalam tempoh yang sama tahun lalu yang mencatatkan 12 kematian.

“Bagi memerangi denggi tahun ini, Kementerian Kesihatan akan melancarkan kempen yang bertemakan ‘Tiada Tempat Pembiakan Nyamuk Aedes, Tiada Denggi’,” katanya. — Bernama
logoblog

Thanks for reading Susu 1Malaysia Selamat Diminum

Previous
« Prev Post

No comments: