Powered by Blogger.

Friday, June 29, 2012

KPT Iktiraf 820 Institusi Pengajian Tinggi di China

  NR       Friday, June 29, 2012

KUALA LUMPUR: Sebanyak 820 institusi pengajian tinggi (IPT) China telah diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sehingga kini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Hou Kok Chung berkata, senarai kesemua IPT itu dikemukakan oleh Kementerian Pelajaran China kepada KPT dan diiktiraf melalui perjanjian rangka kerja bagi memudahkan pengiktirafan untuk kelayakan pendidikan tinggi akademik yang dimeterai antara kerajaan Malaysia dan republik berkenaan pada 28 April 2011.

“Senarai 820 buah universiti ini akan dimuatnaik di laman web Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada 1 Julai ini,” katanya menjawab soalan Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) di Parlimen di sini.

Liang ingin tahu sebab KPT mengiktiraf ijazah dari China dan tidak mempertimbang pengiktirafan ijazah universiti Taiwan.

Hou berkata perjanjian pengiktirafan bersama antara Malaysia dan China adalah bertaraf antara kerajaan dengan kerajaan (G2G), justeru lebih banyak universiti dari republik itu dapat diiktiraf.
Bagaimanapun, katanya, MQA sedang dalam proses akhir membuat penanda aras dengan agensi jaminan kualiti Taiwan iaitu Majlis Penilaian dan Akreditasi Pengajian Tinggi Taiwan (HEEACT) mengenai universiti dari negara itu yang akan diiktiraf.

“Apabila proses ini dimuktamadkan dalam masa yang terdekat ini, satu Kenyataan Keyakinan Bersama (SoC) akan dikeluarkan oleh MQA dan HEEACT,” katanya.

Hou juga berkata, apabila sesuatu SoC ditandatangani, kerajaan dan pihak swasta kedua-dua buah negara akan dijamin mendapat kelayakan akademik yang memenuhi standard dan kualiti yang ditetapkan.

Selain Taiwan, kerajaan juga bercadang menandatangani SoC dengan New Zealand, Australia dan Amerika Syarikat, katanya. — Bernama

logoblog

Thanks for reading KPT Iktiraf 820 Institusi Pengajian Tinggi di China

Previous
« Prev Post

No comments: