Powered by Blogger.

Saturday, July 21, 2012

30% Atlet Ke Olimpik London Terdiri Daripada Pelajar IPT

  NR       Saturday, July 21, 2012

HAMPIR 30 peratus atlet negara yang layak berdasarkan merit ke Sukan Olimpik 2012 di London terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Daripada 28 atlet negara yang layak berdasarkan merit, lapan daripada mereka merupakan pelajar IPT sekali gus membuktikan pusat menara gading mampu melahirkan atlet berkelas dunia.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, perkembangan positif itu menunjukkan matlamat kerajaan melahirkan The Thinking Athletes mampu direalisasikan.

"Kerajaan sememangnya komited dalam program pembangunan dan pembudayaan sukan di IPT termasuk pemberian insentif, biasiswa dan geran penyelidikan berteraskan kejuruteraan sukan.

"Bagi atlet IPT yang akan berjuang di Sukan Olimpik London, saya ucapkan selamat maju jaya dan berusahalah sebaik mungkin untuk mengharumkan nama negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Kejohanan Majlis Sukan Antara Universiti Malaysia (Masum) Fasa 2 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat semalam.

Pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara keseluruhan setelah memungut 12 pingat emas, lima perak dan tujuh gangsa pada kejohanan berkenaan yang membabitkan lapan acara sukan.

Universiti Putra Malaysia (UPM) di tempat kedua dengan tujuh pingat emas manakala tuan rumah, UTHM menduduki tempat ketiga setelah memperoleh empat pingat emas.

Sementara itu, Presiden Masum, Prof. Datuk Dr. Kasim Md. Mansur berkata, atlet IPT yang layak ke Olimpik adalah Khairulnizam Mohd. Affendi (UiTM - perahu layar), Yu Peng Kean (UPM - lawan pedang), Azizulhasni Awang (Universiti Deakin - lumba basikal) dan Cheng Chu Sian (UPM- memanah).

Turut layak, katanya, Leong Mun Yee, Pandelela Rinong, Bryan Lomas dan Cheong Jun Hoong, kesemuanya dari UPM dalam sukan terjun.

- Kosmo
logoblog

Thanks for reading 30% Atlet Ke Olimpik London Terdiri Daripada Pelajar IPT

Previous
« Prev Post

No comments: