Powered by Blogger.

Saturday, July 21, 2012

UniMAP Pertahan Kejuaraan SUKUM Kali Ke-5 Berturut-Turut

  NR       Saturday, July 21, 2012

Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin (tengah) bersama kontijen UniMAP yang muncul juara keseluruhan Sukan Universiti-Universiti Malaysia (Sukum) ke-37 buat kali kelima berturut-turut baru-baru ini.

UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya mengekalkan status juara keseluruhan Sukan Universiti-Universiti Malaysia (SUKUM) ke-37 buat kali kelima berturut-turut apabila menjuarai empat daripada 20 acara sukan yang dipertandingkan baru-baru ini.

UniMAP menewaskan tuan rumah kejohanan, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menduduki tempat kedua walaupun kedua-dua universiti itu meraih juara dalam empat acara namun kelebihan memihak UniMAP apabila meraih tempat kedua dalam lima kategori berbanding UUM hanya satu.

Empat acara yang dikuasai oleh UniMAP ialah olahraga lelaki dan wanita, bola tampar lelaki dan tenpin boling lelaki manakala lima acara yang meraih kedudukan kedua pula ialah bola tampar wanita, hoki lelaki, tenis campuran, boling padang wanita dan tenpin boling wanita.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, sebelum kejohanan tersebut bermula pihaknya telah meletakkan sasaran untuk menjuarai 10 daripada 20 acara yang disertai.

“Namun kemampuan muncul juara dalam empat acara dan naib juara dalam lima acara sekurang-kurangnya hampir menyamai sasaran yang kita tetapkan.

"Apabila kita mampu melangkah ke peringkat akhir dalam sembilan acara, secara keseluruhannya pencapaian UniMAP telah mempamerkan aksi cemerlang apabila meraih 25 pingat emas, lima pingat perak dan lima pingat gangsa,” katanya.

Menurut Dr. Kamarudin, penyumbang terbesar pingat emas kontijen UniMAP ialah menerusi acara olahraga dengan 18 pingat emas, 10 perak dan lima gangsa.

"UniMAP nyata bukan tandingan di pentas olahraga terutama bagi acara trek apabila menguasai hampir keseluruhan acara berkenaan sekali gus muncul juara buat kali kelima berturut-turut," ujarnya.

Jelasnya, barisan atlet wanita senior menyumbangkan sembilan pingat emas manakala satu emas daripada atlet wanita veteran.

Atlet lelaki senior pula menyumbangkan lapan pingat emas keseluruhannya.

"Dua pelari pecut kebangsaan, Mohd. Latiff Nyat dan Nor Jannah Hafiszah Jamaludin mudah meraih pingat emas dalamacara 100 meter lelaki dan wanita senior. Nor Jannah turut mengungguli acara 200 meter wanita manakala Mohd. Idris Zakaria pula membantu UniMAP meraih emas bagi acara 200 dan 400 meter lelaki senior," katanya.

Selain itu, katanya, kedua-dua atlet tersebut turut membantu kuartet 4x100 meter dan 4x400 meter UniMAP untuk meraih pingat emas.

Selain Mohd. Latif, kuartet UniMAP turut dibarisi Mohd. Robani Hassan, Nazmizan Muhammad, Mohd. Muslim Sidek dan Mohd. Isa Ahmad Azan.

"Barisan kuartet wanita pula diperkuatkan oleh Fauziah Abdul Razak, Nor Haslinda Md Hussin dan Nor Rinda Ramli. Selain itu, Nor Rinda dan Nazmizan turut membantu kontinjen UniMAP meraih emas bagi acara lompat jauh,' ujarnya.

Tambahnya, perancangan UniMAP menawarkan pekerjaan kepada atlet dan bekas atlet Malaysia semenjak tahun 2008 lalu nyata membuahkan hasil terutama dalam kejohanan seperti ini.

“Pengambilan kakitangan dalam kalangan bekas atlet kebangsaan ini bukan untuk memastikan UniMAP menjuarai kejohanan Sukum sebaliknya menggunakan kepakaran dan kemahiran mereka.”

- Kosmo
logoblog

Thanks for reading UniMAP Pertahan Kejuaraan SUKUM Kali Ke-5 Berturut-Turut

Previous
« Prev Post

No comments: