Powered by Blogger.

Saturday, July 14, 2012

> 50 Murid SK Sumbiling Dapat Basikal Percuma

  NR       Saturday, July 14, 2012
KARIM (tengah) menyerahkan basikal kepada salah seorang murid di majlis itu.

BONGAWAN: Lebih 50 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sumbiling mendapat ‘durian runtuh’ apabila diberikan bantuan basikal percuma sumbangan Projek Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) dalam satu majlis yang diadakan di Kampung Tibabar, di sini.

Sumbangan basikal yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bongawan, Datuk Karim Bujang, itu bertujuan memberikan kemudahan kepada murid-murid berkenaan untuk ke sekolah, sekaligus menunaikan tanggungjawab sosial SOGT kepada masyarakat.

Salah seorang penerima, Safis Nam Hoi, 12, murid Tahun Enam berkata sumbangan basikal yang diterimanya itu akan memendekkan masa perjalanannya ke sekolah setiap hari dan turut memberikan dia banyak masa untuk mengulang kaji pelajaran di rumah.

Menurutnya, masa untuk dia menelaah pelajaran setiap malam sebelum ini amat terhad disebabkan terpaksa tidur awal agar tidak terlewat bangun keesokan subuhnya untuk ke sekolah.

“Ini kerana saya terpaksa bertolak dari rumah seawal jam 6.30 pagi setiap hari dengan berjalan kaki yang mengambil masa 30 minit untuk tiba di sekolah dan begitu juga sebaliknya jika pulang ke rumah hingga kadangkala meletihkan saya.

“Kini, segalanya berubah dengan adanya basikal baru ini, malah saya juga boleh menelaah pelajaran sehingga lewat malam kerana tidak perlu lagi bangun awal sebab basikal ini akan membawa saya tiba ke sekolah tepat pada masanya.

“Ia juga memberi makna besar buat saya dan keluarga kerana walaupun hanya sekadar sebuah basikal tetapi manfaat daripadanya amat besar serta luas, malah turut menjadi peransang kepada saya untuk berjaya dalam pelajaran,” katanya yang tinggal di Kampung Tibabar.

Bagi Jamileh Francis, 40, basikal yang diberikan kepada anaknya Mazlin Loren yang juga murid tahun empat SK Sumbiling itu menghilangkan segala kebimbangannya sebelum ini disebabkan anaknya yang terpaksa berjalan kaki sejauh 2 kilometer untuk ke sekolah.

“Setiap pagi Mazlin bertolak dari rumah pada jam 5.30 pagi dengan berjalan kaki dan tiba di sekolahnya 90 minit kemudian berikutan jarak dari rumah saya di Kampung Sumbiling ke sekolah yang agak jauh.

“Malah, Mazlin hanya akan tiba di rumah pada jam 2.30 petang setiap kali pulang dari sekolah dan itu amat merisaukan saya disebabkan perjalanan itu yang sememangnya memenatkan terutamanya bagi anak kecil sepertinya.

“Bagaimanapun, selepas ini masa yang diambil oleh Mazlin sebelumnya akan menjadi singkat dengan adanya bantuan basikal ini yang memberikan impak besar dalam persekolahannya,” katanya ketika ditemui.

Dalam majlis itu, Karim turut meninjau pemasangan paip air graviti sumbangannya kepada tiga buah rumah di kampung itu yang telah siap sepenuhnya dalam satu gotong-royong yang diadakan dalam majlis sama.

- UB, 13 Julai
logoblog

Thanks for reading > 50 Murid SK Sumbiling Dapat Basikal Percuma

Previous
« Prev Post

No comments: