Powered by Blogger.

Saturday, July 14, 2012

Ibu Bapa Murid Dakwa Polis Kasari Anak

  NR       Saturday, July 14, 2012

Ibu bapa kanak-kanak itu menerima lawatan dari Adun Tronoh, V Sivakumar.

IPOH – Sepasang suami isteri mendakwa anak mereka yang baru berusia 12 tahun telah diugut oleh dua anggota polis serta sakit pada pergelangan tangan kiri kerana tangannya dikilas ke belakang oleh salah seorang anggota polis terbabit di sebuah sekolah, di sini, Rabu lalu.

Ibu mangsa, Normala Yusuf Ali, 32 memaklumkan, dua anggota polis itu dipanggil oleh pihak sekolah yang mendakwa mangsa terlibat dalam satu pergaduhan kecil bersama rakan sekelas, Selasa lalu.

Normala turut merasa pelik dengan kejadian itu apabila polis dipanggil sehari selepas kejadian dan mereka sekeluarga hanya menerima makluman daripada pihak sekolah pada jam 8 malam.

"Guru besar sekolah itu menafikan kehadiran dua anggota polis terbabit walaupun anak saya dimarahi dua anggota polis itu di hadapan dua guru lain pada keesokan harinya.

"Anak saya dibawa ke bilik guru besar untuk bertemu dua anggota polis itu dengan ditemani guru disiplin serta guru hal ehwal murid. Polis itu mengugut untuk menggari anak saya sekiranya terlibat dalam pergaduhan," katanya ketika ditemui di wad kanak-kanak Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, semalam.

Normala menafikan kemungkinan anaknya menipu terutama kanak-kanak itu dapat mengingati nama kedua-dua anggota polis berdasarkan tag nama pada uniform mereka, walaupun ia dinafikan guru-guru berkenaan.

Normala sekeluarga kesal dengan tindakan guru besar yang mahu mangsa ditukar ke sekolah lain untuk menjaga imej sekolah sedangkan anaknya merupakan seorang pelajar cemerlang.

"Selepas enam tahun anak saya bersekolah di situ, baru semalam (kelmarin) mereka memanggil kami untuk memberitahu semua masalah termasuk menunjukkan rekod disiplin.

"Kami juga menghadapi kesukaran membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) apabila anggota bertugas hanya bersikap sambil lewa ketika mengambil laporan," katanya.

Normala mendakwa terpaksa menunggu hampir 45 minit untuk membuat laporan dan selepas itu, pegawai penyiasat pula enggan menyiasat sehingga mereka sekeluarga dipanggil ke Balai Polis Kampung Tawas untuk siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Termizi Abd Haq memaklumkan akan membuat semakan terhadap insiden itu.

- SH
logoblog

Thanks for reading Ibu Bapa Murid Dakwa Polis Kasari Anak

Previous
« Prev Post

No comments: