Powered by Blogger.

Saturday, July 21, 2012

Kemas Taja 3,621 Guru Tabika Ikuti Diploma Sejak 2006

  NR       Saturday, July 21, 2012
HASAN Malek (dua dari kanan) beramah mesra dengan sebahagian guru Kemas pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kemas Negeri Pahang, di Kuantan, semalam. 

KUANTAN 19 Julai - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menaja seramai 3,621 guru tadika jabatan itu mengikuti pengajian Diploma Perguruan Prasekolah dan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak secara kursus sepenuh masa dan dalam cuti, sejak 2006.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, langkah itu diambil untuk meningkatkan taraf profesionalisme golongan tersebut.

"Sehingga kini, bilangan pelajar di bawah tajaan Kemas yang masih mengikuti pengajian di bawah kendalian Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) adalah seramai 2,429 orang.

"Kesemua mereka kini masih lagi menyandang jawatan Gred N11 dan N17 yang berkelayakan hanya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Habis sahaja pengajian dalam diploma ini, mereka akan dinaikkan jawatan kepada Gred S27," katanya pada sidang akhbar selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kemas Negeri Pahang, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kemas, Amiruddin Ariffin dan Pengarah Kemas negeri, Halimah Ton Mansor.

Menurut beliau, seramai 800 guru tadika Kemas akan ditawarkan untuk mengikuti program Diploma Perguruan Prasekolah yang akan memulakan pengajian pada November ini.

"Semua ini adalah usaha kerajaan yang menyasarkan kesemua guru tadika Kemas di seluruh negara akan memiliki diploma menjelang 2015," katanya.

Sementara itu, katanya, di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara, seramai 1,634 guru tadika Kemas berkelulusan diploma pelbagai bidang telah mengikuti Kursus Asas Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang dilaksanakan secara kursus jangka pendek sejak 2010.

"Mereka ini akan menjalani kursus selama tiga bulan kerana sebelum ini diploma mereka tidak berkaitan dengan pendidikan awal kanak-kanak. Jadi, dengan adanya kursus ini secara tidak langsung dapat meningkatkan mutu pengajaran mereka," katanya.

Sehingga pertengahan tahun ini, sebanyak 10,781 buah tadika Kemas telah dibuka dengan jumlah kanak-kanak adalah seramai 212,454 orang di seluruh negara.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Kemas Taja 3,621 Guru Tabika Ikuti Diploma Sejak 2006

Previous
« Prev Post

No comments: