Powered by Blogger.

Thursday, July 19, 2012

Pelajar ditembak kerana disangka burung

  NR       Thursday, July 19, 2012
KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar yang disangkakan burung telah ditembak di Kampung Kuala Kejir, Kuala Berang dalam kejadian awal bulan ini.
   
Dalam kejadian 7 petang pada 2 Julai lalu itu, pelajar berumur 16 tahun tersebut sedang memanjat pokok untuk mengambil sarang burung.
   
"Melihat pokok tersebut bergoyang, suspek yang sedang berburu lalu mengacukan senapangnya dan melepaskan tembakan ke arah pokok itu dan tidak menyangka seorang budak kemudiannya turun dari pokok itu sambil berkata 'kena ke tembakan'," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K. Manoharan kepada pemberita di sini hari ini.
   
Mangsa difahamkan cedera di bahu kiri akibat terkena serpihan satu peluru penabur senapang patah yang tersasar kepadanya.
   
Dia kemudiannya mendapat rawatan di sebuah klinik di Bukit Payong untuk mengeluarkan serpihan peluru tersebut pada hari berikutnya.

Manoharan berkata sehubungan kejadian itu, suspek berkenaan seorang anggota Rela berumur 40 tahun telah ditahan di rumahnya di Kampung Kuala Kejir malam semalam dan dia kini direman.
     
Polis turut merampas senapang milik Rela itu, beberapa butir peluru serta buku lesen memiliki senapang.
   
"Senjata diberikan adalah untuk menjalankan tugas bukannya bagi tujuan persendirian. Perbuatan ini memang serius kerana menyalahgunakan senapang atas tujuan berburu," tegas beliau.
     
Beliau berkata penahanan itu dilakukan setelah keluarga pelajar terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Berang petang semalam.
   
"Keluarga mangsa sebelum ini tidak membuat laporan polis kerana mereka mengenali suspek dan mereka telah berbincang secara baik di mana suspek pada awalnya bersetuju untuk menanggung perbelanjaan perubatan mangsa.

"Namun oleh kerana suspek tidak menepati janji untuk membuat bayaran, barulah keluarga mangsa membuat laporan semalam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
     
Kes disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960 kerana menyebabkan cedera dengan senjata tanpa alasan yang sah dan di bawah Seksyen 8(b) akta yang sama kerana gagal mematuhi syarat, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000. - Bernama
logoblog

Thanks for reading Pelajar ditembak kerana disangka burung

Previous
« Prev Post

No comments: