Powered by Blogger.

Saturday, July 28, 2012

Perakuan pendaftaran sementara kepada taska tidak berlesen

  NR       Saturday, July 28, 2012

KUCHING: Perakuan pendaftaran sementara akan diberikan kepada operator taska yang tidak berlesen jika cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu diluluskan kabinet.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata perakuan pendaftaran sementara itu akan diberikan kepada operator terbabit sementara menunggu lesen sebenar dikeluarkan.

Bercakap pada sidang media di pejabatnya semalam, beliau bagaimanapun berkata cadangan itu masih lagi di peringkat rundingan kerana pelaksanaannya perlu mengambil kira kepentingan serta input semua pihak.

“Jawatankuasa kecil pembangunan dasar Majlis Pembangunan Pendidikan Awal Kanak-kanak Sarawak (MPAKS) telah membincangkan mengenai isu pelesenan yang membelenggu rata-rata pengusaha taska di negeri ini.

“Belum ada ketetapan lagi berhubung perkara ini (pengakuan pendaftaran sementara), kita perlu merujuk balik kepada kementerian di peringkat persekutuan kerana mereka yang akan membuat keputusan,” jelasnya.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat kedua MPAKS bagi tahun ini .

Fatimah memberitahu, Sara-wak menerusi kementeriannya telah menyuarakan kebimbangan operator-operator taska serta masalah yang bakal dihadapi jika dasar itu diguna pakai nanti.
Beliau menambah, pada mesyuarat itu perkara berkenaan turut membincangkan kebaikan dan keburukan serta kebimbangan dibangkitkan operator taska berbabit jika dasar itu dilaksanakan nanti.

“Perkara ini akan kami panjangkan kepada jawatankuasa induk supaya mereka tahu masalah dihadapi (operator) di Sarawak.

“Di Sarawak pengeluaran lesen amat menitikberatkan premis dan kelulusan menggunakan sesebuah premis ditentukan oleh banyak pihak, antaranya Jabatan Tanah dan Survei dan pihak berkuasa tempatan.

“Apa yang akan berlaku kepada operator jika jawatankuasa teknikal mendapati operator gagal mematuhi syarat dan ketetapan selepas Pengakuan Pendafaran Sementara dikeluarkan.
“Adakah mereka (operator) diarah menghentikan operasi atau sebaliknya… anda lihat apa implikasinya,” jelasnya.

Beliau percaya pengenalan dasar itu bertujuan membantu operator taska yang masih tidak berlesen bagi mendapatkan lesen sah.

Justeru katanya di peringkat negeri ketika ini kementeriannya dalam usaha membantu taska yang tidak berlesen terutama sudah lama beroperasi dengan mewujudkan pusat pendaftaran sehenti di semua pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) di seluruh negeri.

Fatimah yang juga pengerusi MPAKS memberitahu, di pusat sehenti itu pengusaha boleh mendapatkan borang-borang daripada semua agensi bertanggungjawab di pejabat JKM selain diberi khidmat nasihat mengenai langkah-langkah atau perkara perlu dilakukan sebelum operator mahu membuka taska.

Tahun ini katanya, kementeriannya menyasarkan 117 taska didaftar daripada 172 taska di seluruh negeri yang belum mendaftar dengan setakat ini 69 telah diberikan lesen operasi manakala 48 lagi masih dalam proses pendaftaran.

Hadir sama Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus, Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Rodziah Morshidi dan Pengarah JKM Negeri Sarawak Noriah Ahmad.

- UB, 26 Julai 
logoblog

Thanks for reading Perakuan pendaftaran sementara kepada taska tidak berlesen

Previous
« Prev Post

No comments: