Powered by Blogger.

Wednesday, August 22, 2012

Pelajar Lelaki Sekolah Berasrama Penuh Retak Tulang Buku Lali Dibelasah Senior

  NR       Wednesday, August 22, 2012

Buku lali Muhammad Faris retak selepas dibelasah 25 pelajar senior di sebuah sekolah asrama penuh di Negeri Sembilan.

PUTRAJAYA - Seorang pelajar lelaki tingkatan dua sebuah sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan terpaksa menanggung kesakitan lebih enam jam akibat retak tulang buku lali selepas dibelasah 25 pelajar senior jam 2.30 pagi, 5 Ogos lalu di asrama lelaki sekolah berkenaan.

Mangsa, Muhammad Faris Anuar, 14, ketika kejadian mendakwa sedang tidur di biliknya sebelum dikejutkan sekumpulan pelajar senior yang memanjat masuk ke biliknya dan membawanya pergi ke bilik lain.

Ibu mangsa, Salina Shahri, 39, berkata, pelajar berkenaan bertindak menendang dan menumbuk anaknya selepas tidak mengaku menconteng dinding tandas dengan perkataan yang mengejek pelajar berkenaan.

“Hanya kerana insiden menconteng nama di dinding bilik air sekolah anak saya disepak, ditumbuk dan diterajang malah mungkin berhadapan kecacatan kekal berikutan tulang buku lali sebelah kanan retak.

“Anak saya terpaksa menanggung kesakitan lebih enam jam kerana tidak berani untuk mengadukan kepada warden selepas diugut agar tidak melaporkan kejadian berkenaan jika tidak mahu dicederakan lagi,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Presint 9, baru-baru ini.

Salina berkata, namun kira-kira jam 9 pagi anaknya tidak dapat menahan kesakitan dan memaklumkan warden bahawa dia jatuh bilik air bagi mengelakkan kejadian tersebut diketahui pihak  asrama.

“Warden membawa anak saya ke Klinik Kesihatan Jempol untuk rawatan sebelum anak saya menghubungi saya supaya mengambilnya berikutan kakinya terlalu sakit dan tidak dapat berjalan.

“Pada mulanya saya menyerahkan perkara ini kepada pihak sekolah untuk menyelesaikan kes ini namun selepas mendapat keputusan perubatan daripada doktor memaklumkan anak saya mungkin berdepan dengan kecacatan kekal, saya bertindak akan membuat tuntutan sivil,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol.

Menurutnya, anaknya merupakan antara pelajar cemerlang apabila memperoleh Gred Nilai Purata Kumulatif (CGPA) 3.6 untuk peperiksaan penggal pertama.

"Namun berikutan kejadian ini, dia ketinggalan pelajaran  lebih sebulan kerana cuti sakit sehingga 27 Ogos dan akan menjalani rawatan susulan,” katanya.

- SH
logoblog

Thanks for reading Pelajar Lelaki Sekolah Berasrama Penuh Retak Tulang Buku Lali Dibelasah Senior

Previous
« Prev Post

No comments: