Powered by Blogger.

Thursday, September 20, 2012

Hui Yee Meninggal Sebelum Sempat Menjadi Guru Tadika

  NR       Thursday, September 20, 2012

BATU PAHAT 18 Sept. - Hasrat gadis yang menjalani dua pembedahan pemindahan jantung, Tee Hui Yee, 19, untuk menjadi guru tadika tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia di pangkuan bapanya di kediaman mereka di Kampung Parit Besar di sini pagi ini.

Hui Yee sepatutnya mula bekerja sebagai guru tadika di Taman Maju di sini hari ini, disahkan meninggal dunia pada pukul 10.02 pagi selepas mengadu sakit di bahagian dada kiri dan belakang leher sejak semalam.

Lebih menyedihkan, gadis yang sepatutnya menyambut ulang tahun kelima 'jantung' baru miliknya pada 5 Oktober ini turut tidak berkesempatan menunaikan hajat merasai sendiri kegirangan bermain di taman tema Legoland Malaysia bersama kakaknya, Tee Lee Ching, 30.

Ibunya, Dina Bato Sambua, 51, berkata, Hui Yee keluar makan bersama kawan-kawannya kira-kira pukul 9 malam tadi sebelum pulang ke rumah sejam kemudian dan mula muntah-muntah.

"Dia mengadu sakit di bahagian dada kiri dan belakang leher tetapi tidak mahu ke hospital, malah menyatakan ia mungkin gastrik.

"Saya mengurut belakang tengkuk dan badannya dan kerana berasa tidak sedap hati mengajaknya ke hospital tetapi dia tidak mahu," katanya ketika ditemui di sini.

Dina Bato berkata, dia mula cemas apabila anaknya itu semakin tidak bermaya dan menggigil kira-kira pukul 9 pagi ini sebelum menjerit memanggil bapa mendiang, Tee Ah Soon, 57.

Tambahnya, keadaan anaknya itu ketika itu juga semakin teruk sehingga dia terpaksa membuat pernafasan mulut ke mulut namun tidak berjaya.

"Saya sempat mendengar nafas terakhirnya sebelum dia kelihatan kaku menyebabkan saya bergegas membawanya ke Hospital Batu Pahat.

"Bagaimanapun, doktor memberitahu, Hui Yee mungkin sudah meninggal dunia ketika di rumah lagi. Doktor juga tidak memberitahu kami punca kematiannya," katanya.

Menurut Dina Bato, dia terkilan kerana anaknya itu pernah menyuarakan hasrat mendermakan organ setelah meninggal dunia.

"Dia juga ada meminta saya masakkan'mi sua' pada ulang tahun kelimanya menjalani pembedahan jantung.

"Saya amat terkejut dengan kehilangannya kerana dia sebelum ini sihat, malah kami baru sahaja pulang dari Institut Jantung Negara (IJN) Ogos lalu untuk rawatan susulan," katanya.

Sebelum ini, kisah Hui Yee yang menderita sakit jantung mendapat liputan terawal oleh Utusan Malaysia yang melaporkan kesengsaraan mendiang yang terpaksa bergantung nyawa selama setahun dengan jantung mekanikal ekoran ketiadaan penderma.

Hui Yee kemudian menjalani pembedahan pemindahan jantung pertama pada 4 Oktober 2007 yang didermakan seorang lelaki Melayu dari Sitiawan, Perak tetapi tubuhnya menolak jantung tersebut.

Ekoran itu, dia menjalani pemindahan jantung kedua keesokannya menggunakan jantung milik Chin Yoon Kiong dari Johor Bahru yang sebelum itu koma akibat kemalangan jalan raya.

- Utusan Malaysia 


logoblog

Thanks for reading Hui Yee Meninggal Sebelum Sempat Menjadi Guru Tadika

Previous
« Prev Post

No comments: