Powered by Blogger.

Wednesday, October 17, 2012

Mini Sekolah di Hospital Umum Sarawak (HUS) Tahun 2013

  NR       Wednesday, October 17, 2012

Pesakit kanser dalam lingkungan usia persekolahan berpeluang ikuti pembelajaran di HUS

KUCHING: Pesakit kanser dan mangsa kemalangan dalam lingkungan usia persekolahan yang perlu menjalani rawatan bagi tempoh yang lama di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini bakal berpeluang mengikuti sesi pembelajaran sebaik sahaja rancangan untuk mewujudkan konsep sekolah dalam hospital di HUS direalisasikan tahun depan.

Perkara tersebut dinyatakan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah semalam, sambil menjelaskan ia sebagai antara usaha kerajaan memastikan golongan kanak-kanak tersebut tidak ketinggalan dari segi pembelajaran.

“Apa yang penting, kami perlu memastikan golongan pesakit kanak-kanak ini mendapat pelajaran kerana berdasarkan pemerhatian kami, ramai kalangan mereka yang rindu dan inginkan persekolahan dan kami harus menyediakan kemudahan untuk mereka meneruskan pembelajaran walaupun di hospital.

“Saya rasa itu yang seharusnya dilakukan untuk kanak-kanak dan saya harap konsep ini dapat direalisasikan pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pesta Makanan Amal Tahunan Pertubuhan Kanser Kanak-kanak Sarawak (SCCS) ke-11 yang diadakan di bangunan Persatuan Gereja-gereja Sarawak di sini.

Menurut Fatimah, pada awalnya pelaksanaan konsep tersebut disasarkan dalam tahun ini tetapi disebabkan ketiadaan kemudahan bilik di HUS untuk dijadikan sebagai bilik darjah dan bilik guru maka ia ditunda kepada tahun depan.

Bagaimanapun, katanya setakat ini kemudahan yang dikenal pasti untuk pelaksanaan konsep tersebut ialah di Rumah Dahlia, bekas asrama pelatih perubatan di HUS yang juga telah dijadikan sebagai Anjung Kasih dan dijangka memulakan operasi pada awal tahun depan.

“Mungkin ada lebihan bilik di Rumah Dahlia dan ia boleh digunakan untuk bilik darjah (peringkat rendah dan menengah) serta bilik guru bagi membolehkan kita melaksanakan konsep sekolah dalam hospital.

“Sebaik sahaja mendapat jaminan penuh daripada Kementerian Pelajaran, saya akan berjumpa dengan pengarah HUS bagi membincangkan penyediaan kemudahan tersebut,” katanya.

Terdahulu, Fatimah memuji usaha SCCS menjalankan Pesta Makanan Amal Tahunan Ke-11 bagi mengutip dana dan menyediakan bantuan perubatan berterusan kepada pesakit-pesakit yang memerlukan .

Sebanyak 70 gerai dibuka sempena pesta tersebut dengan sasaran kutipan dana sebanyak RM150,000.

“Setiap sumbangan daripada orang ramai memberi makna yang besar kepada pesakit kanser kanak-kanak serta ahli keluarga mereka,” katanya.

Pesta Makanan Amal Tahunan SCCS Ke-11 dilihat mendapat sambutan menggalakkan yang bukan sahaja melibatkan masyarakat tempatan tetapi juga syarikat-syarikat korporat seperti Maybank dan Petronas.

Hadir sama Presiden SCCS Mohamad Rizal Sahari dan Pengerusi Penganjur Pesta Makanan Amal Tahunan SCCS Ke-11 Raymond Thong.

- UB


logoblog

Thanks for reading Mini Sekolah di Hospital Umum Sarawak (HUS) Tahun 2013

Previous
« Prev Post

No comments: