Powered by Blogger.

Wednesday, October 17, 2012

Hasrat Dua Mekanik Berkelulusan PMR Proses Dadah 97kg Hancur

  NR       Wednesday, October 17, 2012

Baharom (tengah) bersama Ketua Bahagian Narkotik IPD Tampin, Asistan Superintendan Chan Yoke Meng (kanan) menunjukkan serbuk yang dirampas di Taman Clonlee, Tampin.

TAMPIN – Hasrat dua mekanik berusia 38 dan 19 tahun yang hanya memiliki kelulusan sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR) untuk memproses 53 peket plastik berupa serbuk seberat 97 kilogram menjadi dadah hancur berkecai.

Mereka ditangkap dalam satu serbuan oleh sepasukan anggota narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di sebuah rumah di Taman Clonlee, dekat sini, 10 Oktober lalu.

Dalam serbuan kira-kira 4.15 pagi itu, pihak polis melakukan  pemeriksaan di rumah berkenaan, milik keluarga salah seorang suspek dan menemui pelbagai bahan termasuk beberapa jenis bahan kimia serta peralatan disyaki untuk  memproses dadah yang berada dalam sebuah bilik di rumah itu.

Ketua Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan Superintendan Baharom Othman berkata, pihak polis turut menemui dua peket dadah jenis syabu seberat 1.10 gram daripada salah seorang lelaki ditahan.

“Bagaimanapun, kita tidak menemui apa-apa dokumen yang menyenaraikan langkah menghasilkan dadah, namun kita percaya kejayaan menangkap dua lelaki ini berjaya menghalang proses penghasilan dadah yang mana kita jangka pasaran untuk mengedarkannya juga cukup besar sehingga ke negeri di selatan tanah air.

“Jika diikutkan, penghasilan dadah ini amat berbahaya sehingga boleh membawa risiko letupan, namun penemuan pelbagai alat termasuk alat penimbang dan buret menunjukkan ia sememangnya sudah dirancang untuk menghasilkan dadah,” katanya pada sidang media di IPD Tampin, dekat sini, semalam.

Kedua-dua suspek didapati positif dadah dan ditahan reman sehingga 17 Oktober ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan di bawah Seksyen 12(3) ADB 1952 kerana kesalahan memiliki dadah.

Dalam tangkapan kedua kira-kira 5.30 petang 12 Oktober lalu, sepasukan anggota narkotik dari IPD Tampin yang juga diketuai Inspektor S Karthigeyen membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berumur 35 tahun di Kampung Semin, Lubok China, Rembau.

“Susulan tangkapan berkenaan, pihak polis berjaya menemui sejumlah 14 peket dan satu botol mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat lebih dari 50 gram. Hasil siasatan ke atas suspek, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 35 tahun dan dua perempuan berusia 20 serta 22 tahun di sebuah rumah di kawasan Lubok China, Rembau yang baru sahaja disewa sejak dua hari lalu.

“Pihak polis tidak menemui dadah di dalam rumah berkenaan, namun taktik licik ketiga-tiga suspek yang menggali lubang bagi menanam kira-kira 216 peket serbuk yang disyaki dadah jenis heroin seberat 466 gram bernilai

RM15,000 berhampiran rumah sewa berkenaan berjaya dikesan pihak polis.

“Pihak polis turut merampas wang tunai sebanyak RM500 dalam tangkapan kes kedua ini," katanya.

Baharom berkata, dua suspek yang ditahan di rumah berkenaan iaitu lelaki berusia 35 tahun dan juga wanita berusia 22 tahun adalah pasangan suami isteri yang mempunyai rekod kesalahan lampau dan di bawah Akta Dadah Berbahaya.

“Manakala, seorang lagi lelaki didapati mempunyai kesalahan di bawah Akta Dadah Penagih Dadah.  Keempat-empat suspek didapati positif morfin dalam ujian saringan awal urin dan direman sehingga 22 Oktober ini," katanya

Dalam tangkapan ketiga kira-kira 2.45 pagi 12 Oktober lalu, sepasukan anggota polis narkotik IPD Kuala Pilah diketuai Inspektor Annas Fikri Othman membuat serbuan di sebuah rumah di kawasan Padang Lebar, Batu Kikir.

“Polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun dan menjumpai satu beg plastik berisi daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat kira-kira 489 gram yang dianggarkan berharga hampir RM3,000.

“Malah, kita turut menjumpai plastik kosong dipercayai untuk membalut dadah jenis ganja berkenaan untuk dijual," katanya.

Menurutnya, suspek yang positif ganja selepas menjalani ujian saringan awal ditahan reman sehingga 19 Oktober ini dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952.

"Hasil kerjasama orang awam, polis berjaya membuat tiga tangkapan, sekali gus   berjaya menumpaskan penghasilan dan pengedaran dadah di negeri ini," katanya.

- Sinar Harian
logoblog

Thanks for reading Hasrat Dua Mekanik Berkelulusan PMR Proses Dadah 97kg Hancur

Previous
« Prev Post

No comments: