Kementerian Pelajaran akan mula mengagihkan wang
bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 kepada 10,019 sekolah
rendah dan menengah di seluruh negara secara berperingkat bermula 15
Januari depan.
Bahagian Pengurusan Maklumat kementerian itu memaklumkan, kaedah
penyaluran bayaran dibuat ke akaun Kumpulan Wang Kerajaan (KWK) sekolah
atau akaun khas Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) bagi sekolah yang tidak
mempunyai akaun bank.
Menurut kenyataan tersebut, mana-mana sekolah yang menerima kurang
peruntukan, perlu membuat permohonan tambahan peruntukan beserta penyata
bank sekolah dan jumlah yang diperlukan kepada Bahagian Kewangan
kementerian secepat mungkin.
Kementerian Pelajaran turut menegaskan bahawa sebarang pemotongan bantuan tersebut sama sekali tidak dibenarkan.
''Tarikh pemulangan lebihan peruntukan juga ditetapkan
selewat-lewatnya pada 31 Mac 2013 kepada mana-mana sekolah yang menerima
lebihan peruntukkan bantuan tersebut,'' kata kenyataan itu.
Di bawah Bajet 2013 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri
Mohd. Najib Tun Razak September lalu telah meluluskan peruntukkan RM540
juta bagi pemberian Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada murid
Tahun 1 hingga Tingkatan 5 bagi sesi persekolahan tahun 2013.
Bantuan ini bertujuan meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga.
Murid atau pelajar yang layak menerima bantuan tersebut mesti
berstatus warganegara Malaysia, bersekolah kerajaan dan sekolah bantuan,
murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau setaraf dengannya bagi
persekolahan tahun 2013.
Pada masa yang sama, kenyataan tersebut turut meminta setiap Jabatan
Pelajaran Negeri (JPN) dan Daerah memaklumkan kepada sekolah mengenai
pelaksanaan bantuan antaranya termasuklah melalui surat siaran, garis
panduan dan pemantauan bagi memastikan pelaksanaan pembayaran bantuan
mengikut prosedur dan peraturan kewangan.
Pihak terlibat perlu melaporkan rumusan agihan Bantuan Khas Awal
Persekolahan RM100 kepada kementerian selewat-lewatnya pada 28 Februari
depan mengikut format yang ditetapkan.
Selain JPN dan daerah, pihak sekolah juga tidak terkecuali berperanan
dalam perkara itu antaranya termasuklah memastikan murid yang layak
menerima bantuan, menyemak dan merekod peruntukan yang diterima ke dalam
Buku Tunai KWK, dan mengeluarkan resit rasmi pejabat apabila peruntukan
telah sah dimasukkan ke dalam akaun KWK.
Sekolah juga perlu mengeluarkan wang bantuan daripada bank dan
mengagihkan secara tunai kepada ibu bapa atau penjaga murid dalam tempoh
14 hari bekerja daripada tarikh bantuan diterima.
Pihak sekolah juga perlu memastikan ibu bapa atau penjaga menurunkan
tanda tangan ke atas Senarai Akuan Penerimaan atau Penolakan Bantuan
dengan disaksikan dua guru sebagai saksi.
Sekolah yang telah membuat agihan bantuan ini kepada murid yang akan
berpindah sekolah perlu meletakkan cop 'telah bayar' bantuan khas RM100
pada borang perpindahan sekolah murid bagi mengelakkan berlakunya
pertindihan agihan bantuan berkenaan di sekolah baharu nanti.
Bagi memastikan tidak ada murid yang tercicir daripada menerima
bantuan tersebut, sekolah diminta mendahulukan peruntukkan sedia ada
sekolah seperti wang SUWA atau lain-lain peruntukan sekiranya
peruntukkan asal tidak mencukupi.
Pengetua atau guru besar dinasihatkan memohon secara rasmi
perkhidmatan polis pengiring daripada Ketua Polis di negeri
masing-masing dalam urusan pengeluaran wang melebihi jumlah RM10,000.
No comments:
Post a Comment