Najib Tun Razak (kiri) berbual sesuatu dengan Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh di kediamannya di Panchavali, New Delhi hari ini
NEW DELHI 20 Dis. - Malaysia bercadang mengambil sejumlah guru bahasa Inggeris dari India untuk mengajar pelajar-pelajar Malaysia dalam usaha meningkatkan kemahiran bahasa tersebut, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, cadangan itu disambut baik oleh Perdana Menteri India, Dr. Manmohan Singh yang mengarahkan tindakan susulan dilakukan segera.
Perdana Menteri India menyambut baik cadangan tersebut dan akan mengarahkan menteri berkenaan untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan Menteri Pendidikan kita bagi merealisasikan cadangan itu," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas pertemuan dua hala dengan Manmohan dan bermesyuarat dengan anggota Forum Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia-India (MICEOF) di sini hari ini.
Najib tiba di sini lewat malam tadi untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India selama dua hari yang bermula hari ini. Sidang bertemakan Perkongsian ASEAN-India untuk Keamanan dan Kemakmuran Bersama ini diadakan sempena 20 tahun hubungan dialog ASEAN-India dan ulangtahun ke-10 Sidang Kemuncak ASEAN-India.
Ini lawatan kedua Perdana Menteri ke India selepas lawatan pertama pada 2010 yang diikuti lawatan balas Manmohan sembilan bulan kemudian. Sejak itu hubungan Malaysia-India bukan setakat hubungan perdagangan biasa tetapi telah berkembang melalui perkongsian strategik dalam pelbagai bidang termasuk hubungan antara rakyat.
Menurut Perdana Menteri lagi, cadangan itu sebagai tambahan kepada program yang dilaksanakan dengan Amerika Syarikat (AS), Yayasan Fullbright dan Suruhanjaya Amerika Syarikat Mengenai Pertukaran Pendidikan (MACEE) sebelum ini.
Di bawah program dengan AS itu, Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) dari negara itu di tempatkan di beberapa sekolah terpilih seluruh negara khususnya di luar bandar.
Katanya, memandangkan India banyak menghantar pelajar ke luar negara, beliau mencadangkan kepada kerajaan India untuk melihat Malaysia sebagai satu lagi pilihan bagi menempatkan pelajar mereka di pusat-pusat pengajian tinggi di Malaysia.
Sumber: BH, Utusan
Sumber: BH, Utusan
No comments:
Post a Comment