Powered by Blogger.

Thursday, December 27, 2012

Latih Lebih Ramai Rakyat Tempatan Ajar Subjek BI - STU

  NR       Thursday, December 27, 2012
KUCHING: Pendekatan melatih lebih ramai rakyat tempatan mengajar subjek Bahasa Inggeris harus diberi penekanan sebagai langkah jangka panjang berbanding menggunakan khidmat guru dari negara luar.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) William Ghani Bina mengakui pendekatan cadangan mengambil guru BI dari India mengajar di negara ini satu langkah yang baik namun ia bersifat sementara dalam usaha meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris.

“Bagi pendekatan jangka panjang, kita sebenarnya perlu melatih ramai warganegara kita sendiri.

“Ini lebih penting kerana kita tidak harus terus bergantung kepada tenaga luar untuk mengajar selain mengurangkan kos khidmat luar,” katanya ketika dihubungi semalam.

Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia bercadang mengambil sejumlah guru BI dari India untuk mengajar pelajar Malaysia dalam usaha meningkatkan kemahiran bahasa itu.

Najib yang berada di India bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-India selama dua hari baru-baru ini, berkata cadangan itu sebagai tambahan kepada program yang dilaksanakan dengan Amerika Syarikat (AS), Yayasan Fullbright dan Suruhanjaya Amerika Syarikat Mengenai Pertukaran Pendidikan (MACEE) sebelum ini.

Menurut William lagi, antara perkara lain yang juga perlu dilihat adalah kefahaman individu dari luar itu mengenai budaya di negara ini.

“Mereka yang datang itu mungkin kurang memahami budaya di sini dan kita berasakan pendidikan pada asasnya juga bergantung kepada kebudayaan kita.

“Selain itu mereka datang hanya untuk bekerja berbeza dengan warganegara kita, bukan sahaja mengajar anak-anak sekolah bahkan paling penting membantu membina negara bangsa,” katanya.

Sehubungan itu STU berasakan pendekatan paling sesuai adalah tidak lebih daripada melatih lebih ramai rakyat tempatan sebagai guru BI.

“Kita tidak mahu terus bergantung kepada khidmat luar tetapi jika ia bersifat sementara mungkin kita bersetuju tetapi bukan jangka panjang,” tegas William.

Sumber: Utusan Borneo
logoblog

Thanks for reading Latih Lebih Ramai Rakyat Tempatan Ajar Subjek BI - STU

Previous
« Prev Post

No comments: