Powered by Blogger.

Thursday, December 27, 2012

Pelajar Naik Bas Sekolah Dilindungi Insurans RM100,000

  NR       Thursday, December 27, 2012


Kuala Lumpur: Kira-kira 1.5 juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara yang menggunakan bas sekolah berpermit akan menikmati faedah perlindungan insurans selewat-lewatnya akhir Januari depan. 

Skim perlindungan insurans kemalangan diri, hilang upaya kekal dan kematian dengan had RM100,000 adalah seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2013 September lalu. 

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Syed Albar, berkata tender sudah dibuka kepada syarikat insurans yang berminat untuk menghantar kertas cadangan yang disertakan sebut harga. 

“Pemilihan akan dibuat berdasarkan penawaran skim perlindungan insurans terbaik serta harga munasabah. 

“Hanya yang terbaik saja akan dipilih sebelum dilantik sebagai penyedia skim insurans,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan SPAD bersama pengusaha bas Bentong dan Temerloh, Pahang, di sini semalam. 



Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal; Pengurus Operasi First Coach, Chong Yee Hoong; Ketua Operasi City Liner, Basri Baharom serta 25 wakil SPAD, Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan Konsortium Transnasional Berhad. 

Mesyuarat itu membincangkan beberapa perkara termasuk inisiatif bagi menambah baik dan melebarkan sistem pengangkutan awam darat di sekitar Bentong dan Temerloh. 

Syed Hamid berkata, melalui perbincangan itu satu model baru untuk mengintegrasi sistem perkhidmatan bas di dalam bandar seluruh negara akan dibentuk. 

“Sebagai permulaan kita akan mulakan di Bentong dan Temerloh. Sistem itu dijangka diperluaskan ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. 

“Kerajaan memperuntukkan RM63.4 juta untuk membantu menambah baik sistem perkhidmatan bas antara bandar di negara ini. 

“Daripada jumlah itu sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan untuk penambahbaikan pengangkutan bas dalam bandar di Pahang membabitkan 10 syarikat. Dana itu akan diberikan berdasarkan kos operasi dan pendapatan sebenar sesebuah syarikat bagi membantu mengurangkan beban mereka. 

“Inisiatif itu jelas menunjukkan kerajaan serius dalam meningkatkan sistem pengangkutan awam darat negara untuk dimanfaatkan kepada rakyat negara ini,” katanya.                                   


Sumber: BH
logoblog

Thanks for reading Pelajar Naik Bas Sekolah Dilindungi Insurans RM100,000

Previous
« Prev Post

No comments: