KEMENTERIAN Pelajaran memaklumkan tidak ada pengambilan baharu bagi
jawatan guru sandaran sepanjang tahun ini manakala pelantikan guru tetap
pula hanya dibuat berdasarkan keperluan pengisian serta kekosongan
jawatan.
Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran, Datuk Mohd.
Ghazali Ab. Rahman berkata, pihaknya perlu meneliti secara terperinci di
peringkat proses temu duga calon guru sebelum diserapkan ke dalam
profesion perguruan.
Menurutnya, selain mempunyai pencapaian akademik cemerlang, calon
guru yang ditemu
duga pada masa depan wajib memenuhi kriteria bersikap
patriotik dan berperwatakan sesuai.
Misalnya, kita hanya memilih 30 graduan terbaik daripada 10,000
permohonan guru, itu pun setakat kita tawarkan temu duga dan bukannya
tawaran kemasukan jawatan guru, katanya ketika ditemui Utusan Malaysia
di pejabatnya dekat Putrajaya baru-baru ini.
Tegas Ghazali, langkah berhati-hati yang diambil itu bertujuan membetulkan persepsi masyarakat yang
beranggapan profesion perguruan sebagai pilihan kerjaya terakhir setelah
pelajar tamat pengajian.
Sepanjang proses temu duga ini berlangsung, kita akan mengambil
langkah penambahbaikan pengambilan guru bagi memastikan keperluannya
menepati matlamat guru cemerlang seperti dihasratkan oleh kerajaan.
Kita mahu menjadi seperti negara-negara maju lain yang mana pelajar
mereka menjadikan profesion perguruan sebagai kerjaya utama mereka
selain bidang kejuruteraan dan perubatan," ujarnya.
Beliau menambah, pengalaman pengambilan guru sebelum ini menjadi
contoh terbaik kepada kementerian untuk melakukan proses penambahbaikan.
Hal ini demikian kerana, ujarnya, sebelum ini, sebahagian calon guru
yang mempunyai kelayakan akademik yang cemerlang namun gagal memberikan
jawapan terbaik apabila disoal mengenai keperluan profesional perguruan.
Sehubungan itu menurut Mohd. Ghazali, pihaknya perlu berhati-hati dan
melakukan proses temu duga yang teliti semata-mata memastikan calon
guru memenuhi piawaian dan keperluan pembelajaran dari semasa ke semasa.
Pada masa yang sama, katanya, kementerian akan memastikan pengambilan
guru pada masa depan adalah mereka yang memiliki imej guru cemerlang
dan mempunyai semangat patriotik tinggi, seterusnya menjadi ikon kepada
pelajar.
Sementara itu, menurut kenyataan akhbar Unit Maklumat kementerian,
tiada pengambilan pelantikan terbaharu Guru Sandaran Terlatih (GST) dan
Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).
Jelas kenyataan tersebut, prosedur pelantikan guru melalui kaedah
pelantikan secara tetap selepas calon lulus urusan temu duga jawatan
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 ditentukan oleh
Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).
No comments:
Post a Comment