Powered by Blogger.

Wednesday, January 09, 2013

198 Pelajar Kurang Berkemampuan di Kota Damansara Terima Notebook 1Malaysia

  NR       Wednesday, January 09, 2013

PETALING JAYA 6 Jan. - Rakyat perlu menggunakan peluang luas dalam bidang pendidikan yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional untuk memajukan diri.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, Datuk Megat Firdouz Megat Junid berkata, BN sentiasa mencari formula terbaik untuk meningkatkan mutu pendidikan dan pengetahuan, termasuk dengan cara memberikan komputer Notebook 1Malaysia untuk membantu pelajar.

"Tanggungjawab memberi pendidikan bukan hanya terletak pada bahu ibu bapa dan pihak sekolah sahaja, malah kerajaan diterajui Barisan Nasional (BN) turut bertanggungjawab dengan mencari formula terbaik meningkatkan ilmu pengetahuan pelajar.

"Salah satu caranya adalah melalui pemberian Notebook 1Malaysia yang boleh dijadikan alat kepada pelajar untuk mencari ilmu tambahan menggunakan medium Internet dan sebagainya," katanya ketika ditemui selepas majlis Penyerahan Netbook 1Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan U3, Subang Perdana dekat sini hari ini.

Ujarnya, pemberian tersebut merupakan antara usaha kerajaan untuk menyediakan kemudahan pendidikan terbaik kepada pelajar ke arah mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan.

Sebanyak 198 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana di kawasan DUN Kota Damansara menerima komputer itu, yang merupakan inisiatif di bawah Program Inisiatif Jalur Lebar Negara.

Beliau turut menasihatkan pelajar agar memanfaatkan sepenuhnya penggunaan komputer riba itu bagi meningkatkan mutu pembelajaran dan ilmu masing-masing.

Sementara itu, penerima pertama pada majlis berkenaan, Abdul Rahim Ahmad Sahari, 15, berkata, pemberian komputer tersebut membolehkan dia mengakses ilmu tambahan dalam Internet sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada hujung tahun ini.

"Saya bersyukur kerana terpilih sebagai salah seorang penerima dan berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan memanfaatkan pemberian kerajaan ini," katanya.

Bagi K. Kavsalyan, 15, pula, dia akan menggunakan Notebook 1Malaysia untuk menyiapkan projek folionya selain sebagai alternatif pembelajaran di rumah.

"Memang tidak dinafikan saya amat teruja dengan pemberian ini. Notebook ini juga menjadi perangsang bagi saya untuk memperolehi 7A dalam PMR nanti," katanya.
logoblog

Thanks for reading 198 Pelajar Kurang Berkemampuan di Kota Damansara Terima Notebook 1Malaysia

Previous
« Prev Post

No comments: