SHAH ALAM 7 Jan. - Universiti Ohio, Amerika
Syarikat akan menyampaikan Ijazah Kehormat kepada Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak dalam satu majlis di Pusat Konvensyen Shah Alam
(SACC) di sini pada 15 Januari ini .
Penyampaian ijazah tersebut diadakan sempena Siri Syarahan Tun Razak
anjuran bersama universiti tersebut dengan Universiti Teknologi Mara
(UiTM) yang menampilkan syarahan oleh Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin
Pitsuwan.
Ketua Unit Korporat UiTM, Alfina Abu Bakar berkata, penyampaian
ijazah kehormat oleh Universiti Ohio kepada Perdana Menteri adalah bagi
mengiktiraf jasa dan pencapaian beliau dalam menaikkan dan memartabatkan
Malaysia di arena antarabangsa.
''Bagi pembuka acara bersejarah tersebut, UiTM menjemput Dr. Surin
Pitsuwan sebagai tetamu terhormat dalam acara 'Tun Razak Lecture Series
2013,' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, syarahan Tun Razak adalah acara dwitahunan bersempena
nama Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Razak sebagai pemimpin
tersohor negara ini.
Beliau berkata, syarahan tersebut akan dihadiri oleh
pemimpin-pemimpin tersohor yang mempunyai pengalaman luas dalam
kepakaran masing-masing.
''Pelbagai isu semasa, cabaran, pengalaman dan harapan pemimpin dapat
dikongsi di dalam majlis ilmu tersebut untuk dijadikan teladan dan
semangat bagi menyedarkan para pendidik.
''Kesedaran tersebut amat penting bagi membuka fikiran para pendidik
tentang idea baharu agar dapat membentuk masyarakat cerdik pandai pada
masa hadapan," katanya.
Katanya, orang ramai yang mahu mendapatkan keterangan lanjut mengenai
program tersebut boleh menghubungi Suria Majdi di talian 019-2893782.
No comments:
Post a Comment