Powered by Blogger.

Friday, January 11, 2013

7 Kanak-Kanak Dinafi Hak ke Sekolah Dibenar Bersekolah

  NR       Friday, January 11, 2013
PUTRAJAYA, 10 Jan — Tujuh kanak-kanak yang didakwa dinafikan hak untuk bersekolah terpaksa menunggu lebih tiga jam sebelum pegawai daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tampil memberikan borang pendaftaran persekolahan untuk diisi oleh ibu bapa mereka, dan dibenarkan untuk bersekolah seperti biasa.

Kanak-kanak berusia lingkungan tujuh hingga 13 tahun itu telah di bawa ke pejabat KPM di sini oleh Naib Presiden PKR N. Surendran (gambar) dan peguam, Latheefah Koya bagi menuntut hak mereka menjalani persekolahan seperti biasa.

Mereka telah berada di pejabat tersebut sejak jam 11.30 pagi, namun hanya sekitar jam 3.00 petang, barulah kumpulan berkenaan diberi borang untuk diisi.

Kanak-kanak yang hadir bersama-sama ibu bapa mereka, termasuk beberapa pemimpin PKR tempatan, termasuk Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa itu turut membawa banner tertera “BN terus menindas, kanak-kanak dihalang bersekolah, kami tuntut Keadilan”, dan melaungkan “Mana-mana, mana Muhyiddin”, mendesak Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil menyelesaikan masalah kanak-kanak tersebut.

Malah, situasi juga agak tegang sebelum itu dengan beberapa insiden perang mulut antara Latheefa Koya, N Surendran, dan Sivarasa dengan beberapa pegawai kementerian yang gagal menyelesaikan masalah yang dituntut pemimpin PKR itu.

Bagaimanapun, situasi kembali tenang apabila Pegawai Perhubungan Awam kementerian itu, Abdul Sharif Abdul Kadir berjaya menenangkan kumpulan tersebut.

“Mereka akhirnya membenarkan untuk kanak-kanak ini bersekolah, tetapi dokumen akan diserahkan kemudian.

“Sepatutnya kanak-kanak tiada dokumentasi tidak dibenarkan bersekolah ini tidak berlaku,” kata Surendran kepada pemberita selepas dokumen pendaftaran persekolahan itu diserahkan kepada KPM.

Jelas beliau, perkara pokok kepada masalah itu adalah pihak Jabatan Pendaftaran Negara dan Kementerian Dalam Negeri, kerana mereka yang bertanggungjawab menyelesaikan urusan dokumentasi setiap warganegara.

“Ini hanya sebahagian kes yang kita bawa, masalahnya lagi besar, ada beribu kanak-kanak yang tidak boleh bersekolah.

“Menteri perlu wujudkan unit khas, bagi mendaftar kanak-kanak tanpa dokumen ke sekolah, termasuk ke Sabah dan Sarawak,” tegasnya.

Kesemua dokumen itu bagaimanapun telah diserahkan kepada Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Sekolah Harian Dr Roziah Abdullah, mewakili kementerian pelajaran sekitar jam 3 petang.

logoblog

Thanks for reading 7 Kanak-Kanak Dinafi Hak ke Sekolah Dibenar Bersekolah

Previous
« Prev Post

No comments: