BATU PAHAT – Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zakarshi hari
ini memberi amaran kepada guru dan pelajar sekolah supaya tidak
menyertai perhimpunan anjuran pembangkang di ibu negara esok.
Menurutnya kementerian tidak mahu golongan pendidik atau pelajar
sekolah membawa contoh yang tidak baik, seterusnya menjadi ikutan
pelajar lain.
“Guru-guru sudah tentu sedia maklum tentang peraturan dan etika yang
digariskan kementerian yang mesti dipatuhi mereka sebagai golongan
pendidik, jadi kami nasihatkan mereka supaya tidak mengambil risiko.
“Selain itu, kementerian juga tidak mahu profesion perguruan dicemari
apabila mereka menjadi peserta perhimpunan yang ganas dengan menentang
pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat
Agung Majlis Perhubungan Zon Senggarang di sini hari ini.
Beliau berkata guru dan pelajar sekolah langsung tidak mempunyai
kepentingan untuk terlibat dengan perhimpunan itu kerana ia bermotifkan
kepentingan politik inidividu semata-mata.
Puad berkata oleh itu, kementerian tidak akan teragak-agak untuk
mengenakan tindakan susulan jika ada di kalangan guru atau pelajar yang
ditahan polis dan dihadap ke mahkamah kerana terlibat dengan perhimpunan
itu.
Beliau turut menasihati ibu bapa supaya tidak membawa anak-anak
mereka yang masih bersekolah menyertai perhimpunan itu. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment