PUTRAJAYA, 10 Jan — Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mensasarkan
20 peratus daripada soalan-soalan dalam peperiksaan UPSR dan PMR bagi
tahun 2013 adalah soalan pemikiran aras tinggi bagi meningkatkan
kemahiran berfikir aras tinggi (HOTS) dalam kalangan pelajar sekolah di
negara ini.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata,
dua daripada 25 inisiatif utama 2013, seperti terkandung dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) berkaitan dengan kemahiran
berfikir aras tinggi meliputi pelaksanaannya dalam kurikulum,
pentaksiran dan latihan guru, yang mana jelasnya usaha untuk menerapkan
kemahiran itu akan diberi penekanan.
“Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan keputusan Trends in
Mathematics and Science Study (TIMSS) 2011 yang kurang memberangsangkan.
“Kita harus menerima keputusan ini (TIMSS) dengan fikiran terbuka
serta perlu memastikan inisiatif ke arah meningkatkan kemahiran berfikir
aras tinggi dalam kalangan murid dilaksanakan dengan berkesan,” katanya
ketika berucap di Majlis Perutusan Tahun Baharu KPM di sini.
Berdasarkan kaji selidik TIMSS 2011, Malaysia berada di tangga ke-26
daripada 45 negara peserta bagi subjek Matematik, berbanding tangga
ke-20 pada 2007.
Manakala bagi subjek Sains, Malaysia berada di tangga ke-32 berbanding kedudukan ke-21 pada 2007.
Sehubungan itu, timbalan perdana menteri itu juga berkata,
kementeriannya akan melaksanakan HOTS kepada 31,000 guru Sains dan
Matematik Tingkatan 1, 2, dan 3.
“Dalam bidang pentaksiran misalnya, soalan peperiksaan dengan
peratusan yang lebih besar ditumpukan kepada kemahiran berfikir aras
tinggi,” kata Muhyiddin.
DAP semalam dalam satu kenyataan mempersoalkan Kementerian Pelajaran
berhubung perbezaan jumlah “A” yang diterima pelajar tingkatan tiga yang
mengambil peperiksaan PMR bulan lalu, dan kaji selidik matematik dan
sains antarabangsa menunjukkan pelajar sekolah menengah hari ini
ketinggalan.
Tony Pua dan Ong Kian Ming mendakwa kaji selidik antarabangsa
mendedahkan sistem pengredan kementerian itu adalah satu “penipuan”, dan
mendedahkan ada jurang besar dalam keputusan kaji selidik antarabangsa
bagi dua subjek tersebut dan skor pelajar dalam peperiksaan peringkat
kebangsaan.
“Bagi mencapai kadar kuantitatif Indeks Prestasi (KPI) seperti jumlah
A atau peratusan kadar lulus, kementerian telah memudahkan sistem
pendidikan termasuk memudahkan peperiksaan,” kata Pua dan Ong yang
masing-masing adalah Ketua Pengarah dan Strategik DAP.
“Adakah sistem peperiksaan kita sangat lemah sehingga 28.8 peratus
akan mendapat A dalam Matematik walaupun standard antarabangsa mereka
ketinggalan?” soal mereka dalam kenyataan itu.
Hampir suku daripada 30,474 pelajar yang menduduki peperiksaan tahun
lalu mendapat keputusan tertinggi dalam dua subjek daripada statistik
kementerian, kata ahli politik itu.
Sebagai perbandingan, hanya dua peratus sekolah menengah mendapat
skor “Sangat Baik” manakala 10 peratus menerima keputusan “Tinggi”
berdasarkan Trends in Mathematics and Science Study (TIMSS) 2011,
berdasarkan laporan yang dikeluarkan pada Disember, kata duo DAP itu.
Kajian TIMSS menunjukkan pelajar 14 tahun menunjukkan prestasi yang
teruk dalam ujian sains, dengan hanya 1 peratus dan 10 peratus pelajar
menerima gred Sangat Baik dan Tinggi, kata Pua dan Ong.
Mereka turut menjelaskan 64 peratus dan 66 peratus pelajar sekolah
menengah menerima “Rendah” dan “Sangat Rendah” dalam matematik dan
sains, berdasarkan TIMS, menyokong dakwaan mereka pelajar semakin teruk.
“Sedangkan PMR menunjukkan hampir 90 peratus lulus untuk matematik
dan sains, TIMSS menunjukkan adanya penipuan dalam peperiksaan kita,”
kata mereka.
Mereka juga menuntut Menteri Pelajaran memberi penjelasan berhubung perkara itu.
TIMMS dijalankan setiap empat tahun oleh Pusat Kajian Antarabangsa Sekolah Pendidikan Lynch, Kolej Boston.
Selain peperiksaan, TIMSS juga mengumpul maklumat kontekstual di
persekitaran sekolah dan lokasi, bahasa ibunda, guru dan latar belakang
keluarga pelajar, guru dan pengetua.
Pada tahun 2011, Korea Selatan, Singapura, Taiwan, Hong Kong dan
Jepun mendahului kedua-dua mata pelajaran Matematik dan ranking Sains
dengan margin yang besar.
Negara-negara yang merosot dalam Sains selain Malaysia termasuk Hungary, Macedonia, Norway, Sweden dan Thailand.
Negara-negara yang sama juga merosot dalam mata pelajaran Matematik, dengan tambahan Jepun, Jordan, Romania dan Tunisia.
No comments:
Post a Comment